Sekilas
- Tuah Adzmi menggantikan Khai Bahar membawakan lagu 'Kerana Ego' di Anugerah Juara Lagu Separuh Akhir Ke-40.
- Tuah mengakui gementar dan tertekan kerana lagu tersebut mencabar dari segi vokal dan risau tidak dapat memenuhi jangkaan peminat Khai.
- Walaupun begitu, Tuah melihat peluang ini sebagai pengalaman baru dan cabaran untuk dirinya di pentas berprestij itu.
Penyanyi Tuah Adzmi membuat kejutan apabila tampil menggantikan penyanyi, Khai Bahar menerusi lagu 'Kerana Ego' di pentas Anugerah Juara Lagu Separuh Akhir Ke-40 (AJL),semalam.
Menurut pemilik nama lengkap, Arumi Nafis Mohd Adzmi, 27, dia mengakui bahawa dirinya amat gementar apabila pertama kali ditawarkan untuk membawa lagu tersebut.
"Mula-mula saya terima mesej dimaklumkan untuk menggantikan Khai, memang satu badan menggigil. Saya ambil masa untuk berfikir sama ada patut atau tidak terima kerana ia bukan perkara kecil.
"Saya sampai minta masa dalam tempoh 24 jam untuk buat keputusan. Saya memang rasa takut dan gementar. Saya juga minta pandangan orang sekeliling dan mereka semua beri sokongan untuk saya cuba. Jadi akhirnya saya setuju," katanya kepada Gempak.
Tuah berkata demikian ketika ditemui selepas membuat persembahan pada hari pertama AJL40 SA di Studio TV3, Glenmarie, malam tadi.
Dalam pada itu, Tuah turut berkata meskipun lagu tersebut amat mencabar dari segi kemampuan vokal, namun dia tetap tidak mahu melepaskan peluang serta ingin mencabar dirinya di pentas berprestij itu.
"Secara peribadi, saya memang sebenarnya suka dengan lagu ini dan genre lagu tersebut memang selalu saya bawakan. Saya dah biasa dengan lagu-lagu seperti ini. Lagu ni sebenarnya bagi saya agak kuat juga kerana banyak bermain dengan vokal.
"Dalam masa yang sama, saya nak cabar diri sendiri dan memandangkan saya tak pernah lagi berada di semi-final. Jadi, saya rasa ini adalah satu pengalaman yang baru untuk saya,"ujarnya.
Tuah bagaimanapun mengakui amat tertekan untuk membawa lagu tersebut kerana risau akan menghampakan peminat Khai.
"Dari segi tekanan, memang sangat terasa sebab lagu ini bukan genre yang saya selalu bawakan. Jadi dalam tempoh dua minggu, saya benar-benar fokus untuk memahami dan mendalami lagu itu.
"Saya cuba beri jiwa saya sendiri dalam persembahan walaupun sedar lagu ini cukup sinonim dengan Khai.
"Khai memang dikenali dengan vokal yang sangat kuat dan peminat dia ramai. Jadi sudah tentu saya risau kalau tidak dapat memenuhi jangkaan mereka atau hampakan mereka.
"Tapi saya cuba positif dan anggap ini sebagai peluang untuk belajar dan mencabar diri,"kongsinya.