Sekilas
- Pelakon veteran Kismah Johar teruja kembali membintangi siri Keluarga Iskandar musim ketiga yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
- Walaupun berusia 74 tahun, Kismah masih kuat bekerja dan membuat persediaan awal untuk menghafal dialog panjang dalam drama tersebut.
- Keluarga Iskandar 3 akan mula bersiaran pada 6 Februari, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam di Astro Ria dan boleh distrim di aplikasi Sooka.
Pelakon veteran, Kismah Johar meluahkan rasa teruja apabila kembali membintangi siri ikonik Keluarga Iskandar musim ketiga yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Menurut Kismah, dia amat gembira dapat kembali berlakon bersama barisan pelakon Keluarga Iskandar kerana hubungan mereka sangat rapat, malah dia sudah menggangap mereka seperti sebuah keluarga sendiri.
“Saya sangat seronok kembali ke set Keluarga Iskandar. Suasananya sangat berbeza kerana kami bekerja dalam keadaan yang gembira, seolah-olah seperti sebuah keluarga sendiri," katanya kepada Gempak.
Kismah berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran program Ramadan Astro 2026 pada Selasa.
Dalam masa sama, aktres berusia 74 tahun itu menegaskan dia masih mempunyai kudrat yang kuat untuk bekerja meskipun usia semakin meningkat.
Namun, dia mengakui perlu membuat persediaan beberapa hari lebih awal sebelum penggambaran bermula kerana skrip drama tersebut mempunyai dialog yang agak panjang.
“Saya tak ada masalah untuk bekerja. Cuma kalau dialog terlalu panjang, saya perlu bersedia lebih awal kerana faktor usia. Lagipun, saya sudah lama dalam bidang ini. Biasanya dua atau tiga hari sebelum penggambaran, saya akan buat persediaan.
"Dalam Keluarga Iskandar, babaknya dirakam dengan dua atau tiga kamera serentak dan skripnya juga agak panjang, jadi ia memang berbeza dengan drama biasa. Sebab itu, dari awal lagi saya sudah bersedia. Kalau sekadar satu atau dua muka surat dialog, Alhamdulillah saya masih boleh bawa dengan baik," ujarnya.
Sementara itu, Kismah turut berkongsi bahawa ada dalam kalangan anaknya yang kurang bersetuju untuk dia kembali berlakon kerana faktor usia.
Namun, mengenangkan hampir 10 tahun dia menyepi daripada dunia seni kerana komitmen terhadap persatuan, dia nekad untuk membuat kemunculan semula.
“Anak-anak ada yang berkata, mak tak perlu berlakon lagi. Tetapi saya terangkan kepada mereka, sepanjang 10 tahun menjadi Pengerusi Yayasan Veteran Malaysia, saya banyak menolak projek besar dan mengorbankan kerjaya demi tanggungjawab kepada persatuan.
"Saya memang minat bidang lakonan, jadi sekurang-kurangnya saya perlu buat kemunculan semula supaya tidak rasa terkilan. Ada anak yang sangat menggalakkan, dan ada juga yang kurang bersetuju, tetapi saya faham itu kerana mereka risau dan sayangkan saya," kongsinya.
Keluarga Iskandar 3 akan mula bersiaran pada 6 Februari, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam di Astro Ria, dan turut boleh distrim menerusi aplikasi Sooka.