Skip to main content

Berita

Alami Gangguan Mental  Ketika Tonton Filem Seram Di Sekolah,  Pelajar Menang Tuntutan Mahkamah

Pelajar Menang Kes Mahkamah

Seorang pelajar perempuan di China memenangi tuntuan mahkamah terhadap pihak sekolah selepas mengalami gangguan mental akibat menonton filem seram semasa sesi belajar kendiri.

Insiden berlaku di sebuah sekolah menengah di Hengzhou, Nanning, wilayah autonomi Guangxi Zhuang, apabila guru yang sepatutnya mengendalikan kelas mengambil cuti sementara.

Advertisement

Ketika ketiadaan guru, pelajar-pelajar sepakat untuk menonton filem seram dengan persetujuan guru penyelaras kelas, lapor South China Morning Post.

Filem yang ditayangkan dipercayai mengandungi unsur ketakutan melampau sehingga menyebabkan pelajar terbabit mengalami tekanan emosi.

Pelajar terbabit kemudian dimasukkan ke hospital dan disahkan mengalami gangguan mental yang berpunca daripada ketakutan melampau.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat setempat.

Mahkamah memutuskan bahawa pihak sekolah bertanggungjawab secara tidak langsung atas insiden tersebut dan mengarahkan syarikat insurans sekolah membayar pampasan sebanyak 9,182 yuan (kira-kira RM6,000) kepada keluarga pelajar berkenaan.

Kes ini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial China, dengan ramai menyuarakan keperluan pemantauan lebih ketat terhadap aktiviti pelajar semasa sesi belajar kendiri, khususnya apabila guru tidak hadir.

Pakar psikologi memberi amaran bahawa filem seram boleh memberi kesan negatif kepada remaja yang masih dalam proses perkembangan emosi, terutamanya jika ditonton tanpa bimbingan atau persediaan mental yang mencukupi.

Mereka turut menekankan pentingnya sokongan psikologi di sekolah dan keperluan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan terkawal bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang.

Pihak sekolah belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut, namun laporan menyatakan siasatan dalaman sedang dijalankan.

Sumber: Astro AWANI

Must-Watch Video

Advertisement