Skip to main content

Rancangan Realiti

"Mungkin Ini Masa Yang Sesuai" - Wani Kayrie Serlah Bakat Tarian

wani-kbefunky-collage.jpg
Penyanyi Wani Kayrie merasakan sekarang adalah masa yang sesuai untuk dia menyerlahkan bakatnya dalam bidang tarian.

Menurut Wani, dia amat gembira kerana berpeluang untuk menyertai pertandingan tarian terbaru terbitan Astro iaitu Dansa Dan Sing.

"Sejak melancarkan lagu terbaru saya yang berjudul Magika, saya telah mula berjinak dalam bidang tarian.

"Sejujurnya, saya memang teringin untuk menyertai program tarian seperti Dansa Dan Sing ini, apabila diberi tawaran, saya tidak teragak-agak untuk menerimanya.


"Boleh dikatakan sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya serlahkan bakat dalam bidang tarian pula," kata Wani kepada Gempak.

Wani berkata demikian ketika ditemui di sidang media Dansa Dan Sing bertempat di The Starling, Damansara Utama petang semalam.

Tambah Wani, dia akan berusaha untuk menambah stamina untuk menyertai program berkenaan.

"Saya akan melakukan aktiviti kecergasan untuk menambah stamina bagi menyertai pertandingan ini.

"Saya akan banyakkan berenang untuk kekal cergas dan bertenaga, meskipun jadual sibuk, saya akan cuba bahagikan masa sebaiknya," ujarnya lagi.

Selain Wani, Dansa Dan Sing turut disertai oleh Arja, Atilia Haron & Yasmin Hani, Chubb-E, Nik Qistina, Raja Syahiran, Shiha Zikir, Sophia Liana, WARIS dan Harris Baba.

Guru tari terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen negara, Datuk Rizalman Ibrahim telah diberi kepercayaan sebagai juri tetap dalam musim pertama ini.

Sementara itu, seorang juri jemputan juga akan diundang setiap minggu bagi turut mengadili persembahan peserta.

Selebriti popular, Sherry Alhadad pula telah dipertanggungjawabkan sebagai pengacara program berkenaan.

Konsert mingguan Dansa Dan Sing akan ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123) mulai 5 Januari 2020.

Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!
 

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement