Dalam semangat menyambut kemerdekaan, Perbadanan Stadium Malaysia dengan kerjasama MND Sport & Event telah menganjurkan Konsert Jiwa Malaysia untuk menyemarakkan semangat cintakan negara melalui hiburan.
Konsert Jiwa Malaysia 2024 yang diadakan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, dibanjiri lebih 15,000 penonton dari serata Malaysia.
Penonton mula berkumpul di perkarangan stadium sejak pukul 2 petang untuk menyaksikan konsert yang menampilkan barisan penghibur antaranya Dolla, Insomniacks, Ruffedge, Spider, Bunkface, dan Hujan.
Terbukti, persembahan hebat daripada barisan artis termasuk Bella Astillah telah berjaya menyatukan rakyat Malaysia dari pelbagai generasi. Antara persembahan yang meraih sorakan meriah adalah Bunkface menerusi lagu Malam Ini Kita Punya, Ruffedge (Khayalan), Spider (Relaku Pujuk) dan banyak lagi.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, konsert ini mampu mengembalikan semangat patriotik melalui sokongan terhadap muzik tempatan.
“Konsert ini saya menganggap sebagai salah satu medan ekspersi. Menjadi seorang yang patriotik bukanlah perkara yang kita sering melihat seperti baca ikrar, mencintai muzik lokal adalah salah satu semangat patriotisme.
“Yang mana hadir di stadium ini adalah disatukan jiwa melalui konsert Jiwa Malaysia. Itu adalah yang paling penting”, katanya ketika menghadiri di Konsert Jiwa Malaysia 2024 pada Sabtu.
Konsert Jiwa Malaysia melabuhkan tirai dengan persembahan bertenaga dari Hujan menerusi lagu ‘Rumah Kita’.