Ramai dalam kalangan peminat sukan masih berduka dengan berita penyingkiran jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, seawal pusingan pertama dalam acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024, baru-baru ini.
Namun, di sebalik penyingkirannya itu, semangat dan ucapan semangat masih lagi dilontarkan kepada beliau, khususnya pengguna media sosial.
Parut di dada
Apa yang menarik perhatian, parut pada dada atlet kebanggaan negara itu turut menjadi sorotan.
Menerusi perkongsian oleh akaun Public Health Malaysia di platform X, parut yang ada pada dada Azizulhasni merupakan parut bekas pembedahan bagi masalah jantung yang jarang ditemui, iaitu Anomalous Aortic Origin of a Coronary Artery (AAOCA).
Terdahulu, Azizulhasni dibatalkan penyertaan dalam pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Nasional Perancis selepas beliau dilihat memotong terlalu awal sebelum derny keluar sepenuhnya daripada trek.