Skip to main content

Viral

Gabungan Hebat! AC Mizal Bergabung Bersama Anaknya Dalam Single MINE

untitled-design-2021-12-13t193932-941.png
Darah seni yang mengalir dalam tubuh selebriti versatil, Dato' AC Mizal, 49, kini dipanjangkan oleh anak terunanya, Muhammad Reeve Damien berusia 18 tahun.

Legasi yang  diteroka  suami  kepada  Datin  Emylia  Rosnaida  ini  sejak  menganggotai kumpulan  rap  4U2C meledak  di  era  90-an  ternyata  berkesinambungan.

Lamaran  syarikat rakaman  Universal  Music  Malaysia  menyunting  anaknya  yang  selesa  dipanggil  Damien disambut baik.

Penantian  sekian  lama  juga  cukup  berbaloi  biarpun  harus  menempuhi  situasi tak  terduga pandemik COVID-19  hingga  melengahkan  tempoh  waktu perancangan  asal  single  sulung berjudul MINE dilancarkan. Istimewanya juga, MINE buat julung kali menyaksikan gandingan pertembungan dua generasi antara pengacara popular itu dengan anaknya.

"Segala mengenai pembabitan dan perjalanan proses pembikinan lagu ini membuatkan saya  teruja  dan  bangga.  Semuanya  dibuat  dengan  teliti. Untuk  single  pertama  anak  saya menyatukan  kami  dan  menjadi  sisi  lain  yang  buat  tersentuh  hati  dan  terharu.

"Tak  pernah terjangka semua ini akan berlaku dan tersusun cantik. Penantian  bertahun tahun yang saya pendam dan harap, benar benar direalisasikan.

"Akan datang  saya  dan  dia  akan  satu  pentas  membuat  persembahan.  Ia  rasa  yang  tak  terungkap dengan kata kata," kata pemilik nama sebenar Mizal Zaini itu.

Tambah AC, lagu MINE juga menyaksikan anaknya sebagai penerbit lagu dan penulis lirik selain menyumbangkan vokal. MINE yang bernuansa Pop R&B dan Hip Hop dicipta khas oleh Adam E, Freddie Laut dan ADL. Liriknya pula hasil nukilan Damien, AC di samping Adam E dan ADL.

"Lagu  ini  sepatutnya  dilancarkan  tahun  lalu.  Tapi siapa  mampu  menebak,  dunia  diserang wabak  COVID-19  hingga  sekatan  pergerakan  dilaksanakan.  Setahun  juga  menanti  kerana perlu berdepan beberapa siri penangguhan.

"Jadi  ia  akhirnya  dibawa  tahun  ini.  Lagu  itu  dirakamkan  3  Januari  lalu.  Manakala  video muziknya   pula  dilunaskan   penggambarannya   pada 10   Oktober   lalu. Saya   serahkan tanggungjawab  memberi  nyawa  untuk  lagu  ini  kepada  anak.  Lagipun  anak  saya  lebih  arif dengan apa yang dirasakan sesuai pada zaman sekarang," katanya.

Dalam pada itu, AC juga bangga melihat Damien yang cukup bersedia dengan setiap proses dari mula hingga selesai.

"Saya sendiri tak mahu projek lagu duet ini jadi asal boleh. Saya dan anak mahu ia dihasilkan sesempurna mungkin.  Pihak  Universal  Music sendiri  faham  kehendak  dan  hala  tuju  diingini kerana saya jenis yang mementingkan kesempurnaan. Pendek kata, bunyi, susunan lagu dan video muzik sampai pada paras kepuasan saya.

"Ternyata  anak  saya  seperti  lulus  dengan  baik  untuk  percubaan  sulungnya  ini.  Tak  banyak aspek yang perlu diubah. 'Feel' yang dizahirkannya dalam lagu ini juga kena. Saya sendiri juga turut menyanyi rap dengan suntikan elemen yang baru dan tidak seperti kebiasaan," katanya lagi.

Sementara itu, Damien berterima kasih kerana impian yang ditunggu menjelma juga akhirnya.

"Ia   satu   perasaan   menakjubkan   apabila   impian   yang   dulu   hanya angan-angan   dapat direalisasikan.  Saya   mahu   berterima   kasih   kepada   bapa dan   Universal   Music   kerana menjadikan ia sebuah kenyataan.

"Saya  sendiri  mengikuti  kelas  belajar  vokal  dengan  bapa  lebih  enam  bulan.  Lega  rasanya penantian itu akan membuka lembaran dan cabaran baru," katanya yang sudah bermain gitar lebih lima tahun lalu.

MINE menurut  pemahaman  Damien  ialah  sebuah  karya  cinta  di  era  moden  termasuk  sisi berdating dalam talian.

Lagu ini telah tersedia di semua platform penstriman digital sejak 10 Disember lalu manakala muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Advertisement

Must-Watch Video