Skip to main content

Reviu

Bukan DARAH DAGING Tapi Kalau Hati Ikhlas, Jiwa Penuh Kasih-Sayang, Anak Orang Lain Pun Tetap Ditatang.

intrend-ayah-main.jpg
Teks: Nor Hatina Shuib


Stigma masyarakat yang menganggap ayah tiri, ibu tiri dan individu yang ‘masuk’ ke dalam sesebuah keluarga tanpa pertalian darah sebagai  ancaman kepada anak haruslah dibuang jauh-jauh.

 
Persepsi ini bukanlah begitu tepat memandangkan ramai ibu tiri, ayah tiri mahupun ahli keluarga baru dalam sesebuah keluarga sudah membuktikan mereka boleh saja  melalui hubungan dan jalinan baharu  kekeluargaan dengan erat, penuh kasih-sayang, ikhlas dan  sentiasa mencipta memori baharu.

 
 Berhentilah memupuk sikap suka  ‘memberi amaran’ kepada wanita  yang pernah melalui dugaan dalam perkahwinan lalu dan  mahu  mencuba melalui kehidupan baharu dengan insan lain dalam hidup mereka .


Elakkan mengeluarkan kata-kata yang memberikan impak negatif kepada seseorang sehingga membawa kepada kemurungan sehingga rela  memilih bersendirian sampai bila-bila.  

 
Belajarlah mengucapkan doa dan harapan yang baik-baik supaya menjadi pendukung semangat kepada lebih ramai ayah tiri, ibu tiri, anak angkat atau sesiapa saja yang dibawa masuk ke dalam sesebuah keluarga sebagai ‘orang baru’.

 
Seorang teman rapat  yang berstatus ibu tunggal pernah berkongsi, setiap kali ada lelaki yang mahu mendekati beliau untuk ke jinjang pelamin, beliau cukup takut.


Bukan kerana tidak percaya kepada lelaki yang sudah membuka ruang untuknya bercinta kembali namun pandangan negative masyarakat adakalanya membuat beliau sendiri takut untuk mencuba nasib dengan perkahwinan baru.



 

Kredit foto: @iamellymazlein

 
 
Memikirkan adakah suami baru nanti akan sayang sepenuh hati dua anaknya membuatkan beliau rasa seram untuk menerima pinangan lelaki itu. Akhirnya, beliau kini masih ibu tunggal dua anak kerana takut dengan kehadiran orang baru dalam hidupnya dan anak-anak.

 
 Pemikiran  seperti tidak takutkah anak nanti dipukul suami baru?  Bolehkah  suami baru nanti sama-sama menjaga  anak  yang bukan darah dagingnya? Tidak takut anak kena dera?  Macam mana jika suami baru buat yang bukan-bukan kepada anak kamu? antara tanggapan  tidak adil yang diletakkan kepada ibu dan bapa tiri khusunya.

 
Ini satu dalam ribuan kisah ibu tunggal  atau bapa tunggal memilih untuk tidak berkahwin dan bersendiri tanpa teman. 

 
Bukan tiada hati atau perasaan sunyi untuk ditemani, biasanya duda atau janda yang mempunyai anak lebih memikirkan perkara yang bukan-bukan dan tidak memberi peluang kepada diri mereka membina kebahagian semula  dengan menerima orang baru dalam hidup  mereka bersama anak-anak.

 
Sedarilah, gagal sekali bukan gagal selama-lamanya. Jika dulu hubungan runtuh disebabkan tiada kesefahaman atau tidak serasi, mungkin hubungan yang kedua kali ini memberi rezki , keberkatan dan keteguhan berkekalan.
 

 Kebahagiaan pasti akan menjelma jika anda melepaskan masa silam dan menuju ke fasa kebahagiaan dan ikatan baru.

 
Perhatikan, di sebalik kita dihidangkan kisah-kisah tidak manis membabitkan ayah dan ibu tiri, ada yang masih bahagia, ketawa dan melalui hidup baharu dengan kehadiran insan lain dalam hubungan kekeluargaan. Siapa kata bahagia itu hanya boleh tercipta   bagi mereka yang ada pertalian saudara atau darah?  Bahagia itu milik sesiapa saja.


 

Kredit foto: @fashasandha



Jom Kita Lihat Panduan Memilih Cinta Baru Untuk Anda dan Anak-Anak Selepas Perceraian Jika Ada Yang Cuba-Cuba Mendekati Nanti.  
 

Pilih Lelaki Matang
  1. Sifat ini antara yang penting untuk mencari pemimpin baru dalam keluarga anda. Biasanya lelaki bersifat seperti ini akan terus mengajak anda berkahwin dan tidak menunggu lama untuk berada di samping anda. Sikap matang ini tidak semestinya ada dalam kalangan lelaki berusia, jejaka muda yang mungkin mengajak anda berkahwin juga ramai punyai sifat terhebat ini. Elakkan lelaki yang bersifat keanak-anakkan dan terlebih manja. Sukar untuk anda untuk memberi tumpuan kepada si dia dan anak-anak nanti.


 Terimalah Lelaki Bertanggungjawab
  1. Sifat ini boleh dinilai apabila anda sudah mengenali keluarganya. Jika nampak dia begitu kasihkan ayat dan ibunya, begitu juga dia akan cinta dan sayang kepada anda.  Lihat bagaimana cara dia bertanggungjawab dan menghormati anda ketika bercinta walaupun ramai yang tidak menunjukkan belang sebenar saat bercinta, keikhlasan dan sifat ini ada akan dapat rasai.


 Oh Jejaka Penyayang
  1. Pilihlah lelaki yang ada sifat penyayang. Kasih sayang bukan dinilai daripada segi material tetapi bagaimana dia mencurahkan, melayan dan tidak jemu melayan anak anda. Perhatikan matanya dan tumpuan dia ketika sedang bermain dengan si manja anda. Sifat kebapaan dapat dinilai daripada sifat seperti ini.
 
 

Kredit foto: @iamellymazlein

 
 
Budiman Si Penyejuk Hati
  1. Ini sejenis sifat menarik ada pada lelaki yang dapat mencairkan hati wanita. Lelaki budiman ini memiliki keseluruhan sifat lelaki sejati. Mereka mempunyai sifat maskulin yang mampu menjadi pelindung kepada anak dan anda jika ada  jodoh kamu berdua. Lelaki yang memiliki sifat ini juga boleh berdikari dan membantu urusan anda mengendalikan anak walaupun bukan darah dagingnya dan pada masa sama membantu anda melakukan kerja rumah.
 


Bukan Si Panas Baran
  1. Tidak dinafikan ada lelaki panas baran yang baik tetapi jika silap anginnya, habis satu rumah dihamunnya. Bagi ibu tunggal yang sudah mempunyai anak mengahwini lelaki seperti ini, ia amat membimbangkan kerana bukan anda saja perlu melayan kerenahnya yang suka memaki hamun pasangan tetapi membawa ruang negatif kepada anak yang memerlukan kasih sayang seorang bapa. Carilah lelaki yang bersabar dan mudah menerima teguran bukan si keras kepala yang merosakkan hubungan kekeluargaan anda kelak.
 

 



 

Advertisement

Must-Watch Video