Skip to main content

Budaya Popular

Rai Aidiladha, Syafiq Kyle Rancang Sembelih Seekor Lembu

capik-korban-header.jpg
Pelakon Syafiq Kyle merancang untuk melakukan ibadah korban dengan menyembelih seekor lembu pada sambutan Aidiladha tahun ini.

Jelas Syafiq, 27, biarpun kedatangan Aidiladha disambut bersederhana bersama keluarga, bintang filem Langsuir itu lebih menitik beratkan konsep berkumpul pada hari raya pertama.

"Tiada persiapan khusus pun untuk sambutan Aidiladha melainkan persediaan makanan dan kemungkinan tahun ini akan menyembelih seekor lembu sebab sudah dirancang sejak Hari Raya Aidilfitri lepas.

"Namun, jika tidak diizinkan saya mungkin akan korban kambing atau buat jamuan makan-makan bersama keluarga sahaja.

"Biasanya sambutan Aidiladha bersama keluarga saya hanya sederhana sahaja. Paling penting dapat berkumpul bersama-sama pada hari raya pertama.

"Itu waktu sehari yang hanya ada untuk masing-masing bersua muka dalam setahun. Sebab biasanya pada waktu lain semuanya akan sibuk," katanya kepada Gempak.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Syafiq baru selesai menjalani penggambaran filem psiko thriller Pusaka dan bakal terbabit dengan pementasan teater Pawana Isabella pada hujung Ogos ini.

Menjelaskan serba sedikit mengenai pembabitannya pertama kali dalam pementasan teater kata Syafiq, dia cuba mencabar dirinya untuk bidang lain selain drama dan filem.

"Saya menerima tawaran berlakon teater kerana mahu mencabar diri saya sendiri sebab tak pernah terbabit dalam pementasa teater selama bergelar pelakon.

"Saya pun ingin tahu proses produksi sesebuah teater dan mahukan pengalaman baharu," tambahnya.

Teater Pawana Isabella arahan Erma Fatima itu turut dibintangi Janna Nick, Azira Shafinaz dan Johan Raja Lawak.

Advertisement

Must-Watch Video