Skip to main content

Budaya Popular

Bila Badrul Bicara: Saman, Jangan Tak Saman! Kadangkala Kita Perlu Bertegas Juga!

01.jpg
Sejak akhir-akhir ini mula timbul kisah selebriti menyaman netizen. Kalau dulu sememangnya ia jarang berlaku atau tidak sekerap sekarang ini.

Kebebasan 'bersuara' di media sosial seolah-olah memberikan lesen kepada segelintir netizen ini untuk mengeluarkan kata-kata kesat, kejian, dan fitnah.

Ada yang kerana terlalu taksub, ada yang kononnya ingin menegakkan pendirian dan adanya sekadar komen bodoh untuk menyakitkan hati. Saya pun tidak faham. Mungkin cara mereka lari dari kehidupan mereka sendiri? Mungkin.



Pendirian segelintir artis untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melampaui batasan ini sangat saya salut. Pada saya, ia penting demi maruah diri serta keluarga.

Kadangkala saya terfikir, komen-komen yang berbaur fitnah, menjatuhkan dan menghina daripada segelintir netizen ini, tujuannya apa ya? Guna Mak Esah lah, muka macam bapok lah! Apa tu?!?

Tidakkah mereka tahu tentang undang-undang? Tidak faham, tidak belajar, tidak peduli atau memang tidak mahu ambil tahu?



Mungkin untuk pengetahuan secara am pada anda semua di luar sana, undang-undang berkaitan fitnah adalah di bawah Defamation Act 1957 bagi peruntukan sivil dan Kanun Keseksaan 1949, seksyen 499.

Di bawah undang-undang sivil ada dua jenis fitnah iaitu Fitnah Libel yang merupakan fitnah bertulis dan Fitnah Slander iaitu fitnah secara lisan.

Fitnah ialah kata-kata yang merendahkan martabat, menyebabkan seseorang dipulaukan atau secara terbuka menimbulkan kebencian dan memperbodohkan.



Itulah yang saya boleh tuliskan secara ringkas buat masa ini supaya anda tahu bahawa walaupun anda menulis hanya dengan kata-kata cacian atau hinaan, tetapi jika ianya boleh menimbulkan kebencian orang lain serta memperbodohkan orang yang dicaci itu, ianya juga boleh dianggap fitnah.

Berhati-hatilah menulis komen. Tak perlu untuk kita jadi 'jahat' kerana selebriti juga manusia seperti kita. Ada perasaan, ada keluarga, anak, isteri atau suami dan ibu bapa. Mereka juga ada maruah diri.



Tak salah untuk menahan diri daripada mengeluarkan kata-kata kesat dan kejian. Bukan sahaja kita tahan diri daripada melukakan orang lain, tetapi juga ada ganjaran yang menanti daripada Allah SWT.

Pandai-pandailah untuk membezakan kata-kata nasihat dengan kejian, perlian mahupun hinaan. Kerana perkara itu akan membezakan siapa diri kita di dalam.



Cuma saya sedikit keliru juga. Kenapa hanya selebriti wanita? Sekadar bertanya, tiada tindakankah daripada sebilangan selebriti lelaki terutama yang dituduh ada gambar dan video bogel? Tak mahu saman ke? Wallahualam.

Jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Instagram
 
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.

Must-Watch Video

Advertisement