Skip to main content

Budaya Popular

Ayda Jebat Idam Trofi Aktres Terbaik

aydapereka_1.jpg

Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat mengimpikan untuk merangkul trofi pelakon terbaik satu hari nanti.

Nama Ayda yang tersenarai sehingga pencalonan akhir beberapa anugerah yang dinilai berdasarkan kualiti lakonan membuatkan gadis ini berhasrat untuk menggenggam trofi aktres terbaik.

"Alhamdulillah, saya sangat berbangga dan gembira kerana nama saya tercalon sehingga peringkat Top 5.

"Tahun lalu, nama saya tersenarai dalam dua pencalonan akhir di Anugerah Skrin menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama (Aku Nazmi) dan Pelakon Wanita Terbaik Filem (Pinjamkan Hatiku).

"Baru-baru ini, nama saya sekali lagi tersenarai dalam pencalonan akhir bagi kategori Pelakon Harapan Wanita menerusi filem Pinjamkan Hatiku di Festival Filem Malaysia ke-30.

"Walaupun tak menang, saya rasa sangat bersyukur kerana tersenarai dalam pencalonan Top 5. Ini menjadi bukti saya serius dalam bidang lakonan.

"Perkara tersebut membangkitkan semangat saya untuk terus memberikan yang terbaik dalam setiap watak yang saya jayakan.

"Saya tak mahu berhenti belajar dan setiap pengalaman yang saya tempuhi menjadikan saya lebih matang.

“Saya menanam hasrat untuk memenangi trofi aktres terbaik dan saya akan berusaha ke arah itu dengan memberikan kualiti lakonan yang mantap," kata Ayda.

Mengulas mengenai kerjaya nyanyiannya pula, Ayda gembira kerana single baladanya, Mana Ada Hati (Yang Ingin Terus Disakiti) mendapat sambutan baik peminat.

"Alhamdulillah, video lirik lagu ini sudah mendapat lebih 1.4 juta tontonan di laman YouTube. Ramai yang memberikan respon positif apabila saya muncul dengan single balada.

"Insya-Alllah, muzik video rasmi lagu ini sedang dirancang dan bakal dilancarkan pada penghujung bulan ini. Saya mohon doa peminat agar semuanya berjalan lancar," katanya lagi.

 

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement