Sekilas
- Penyanyi Datin Alyah berkongsi berita sedih tentang pemergian abangnya, Ameran Abu Hassan, yang meninggal dunia pada pagi Hari Raya Aidilfitri kedua.
- Jenazah arwah masih berada di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, dan urusan pengurusan jenazah akan dilakukan di rumah ibu mereka di Kampung Melayu Gelang Patah.
- Alyah mengajak orang ramai yang mengenali arwah untuk memberi penghormatan terakhir dan memohon agar semua mendoakan kesejahteraan arwah dengan membaca al-Fatihah.
Penyanyi Datin Alyah berkongsi khabar duka apabila abangnya meninggal dunia pada pagi Hari Raya Aidilfitri kedua.
Menerusi satu hantaran dalam Instagram, Alyah atau nama sebenarnya Nor Hasliah Abu Hassan, 45, memaklumkan Allahyarham Ameran Abu Hassan telah menghembuskan nafas terakhir pada waktu subuh.
“Abang saya Ameran Abu Hassan telah kembali ke rahmatullah subuh tadi.
“Jenazah masih berada di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” katanya.
Menurut Alyah, urusan pengurusan jenazah akan dilakukan di rumah ibunya yang terletak di Kampung Melayu Gelang Patah, Johor Bahru.
“Saya alu-alukan sesiapa yang mengenali arwah abang saya untuk hadir memberi penghormatan terakhir di rumah mak saya tengah hari ini bagi persinggahan terakhir arwah.
“Saya juga memohon agar kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah buat arwah,” ujarnya.
Bagaimanapun, Alyah tidak berkongsi lanjut mengenai punca kematian abangnya itu.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Kisah Hati itu turut meluahkan rasa pilu apabila pertemuan terakhir bersama Allahyarham berlaku beberapa hari sebelum Syawal.
“Betul-betul harap dapat jumpa Syawal kali ini. Tak sangka Jumaat adalah untuk kali terakhir,” luahnya.