Sekilas
- Pengarah Zulkarnain Azhar jelaskan filem seram Polong adalah fiksyen yang diilhamkan dari kisah seram serantau dan tiada kaitan dengan kes pembunuhan ahli politik lama.
- Filem ini bukan sahaja fokus pada elemen mistik, tetapi turut mengetengahkan isu kekeluargaan dan cabaran hidup yang relevan dengan masyarakat masa kini.
- Polong akan ditayangkan mulai 28 Mei di pawagam seluruh Malaysia dengan barisan pelakon seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, Jun Lojong, dan Nadiya Nisaa.
Pengarah filem seram Polong iaitu Zulkarnain Azhar berkongsi bahawa karya terbaharunya itu hanyalah sekadar fiksyen yang terinspirasi dari kisah-kisah seram serantau.
Menurut Zulkarnain, filem tersebut tiada kena mengena dengan kes pembunuhan ahli politik yang pernah menggemparkan Malaysia suatu kala dahulu.
“Filem ini adalah inspirasi dari kisah-kisah rantau ini. Ia tidak spesifik. Banyak kisah supernatural dan crime. Ia lebih kepada fiksyen dan tiada kena mengena dengan orang atau kes yang sangat besar ketika itu. Mungkin yang nampak jelas itu kerana pemakaian zaman tersebut,”katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Zulkarnain turut berkata bahawa filem tersebut turut memberi tumpuan pada isu kekeluargaan yang relevan dengan masyarakat masa kini dan bukanlah hanya sekadar elemen mistik.
“Cuma, filem ini membuka dimensi yang baharu yang amat relevan dalam masyarakat. Ia bukan sahaja supernatural, tetapi mengetengahkan isu kekeluargaan dan suami isteri.
“Dalam cerita ini, ia bukan sahaja sekadar unsur seram hantu tetapi lebih kepada nak survive dalam kehidupan,”ujarnya.
Ditanya mengenai pemilihan pelakon, Zulkarnain turut mengakui bahawa dirinya sudah lama membayangkan pelakon yang membintangi filem tersebut, malah telah dirancang sejak awal penghasilan filem tersebut.
“Saya dah bayangkan lama dah siapa pemain bagi setiap watak dalam filem Polong. Tiada masalah memandangkan sayalah penerbit, penulis, pengarah. Jadi, saya sendiri yang memilih mereka.
“Saya dah rancang dari awal untuk buat casting bagi barisan pelakon ini. Memang dah dalam perancangan saya sejak awal penulisan lagi,”katanya lagi.
Sekadar info, filem Polong ditayangkan mulai 28 Mei ini di pawagan seluruh Malaysia dan turut dibintangi Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, Jun Lojong, serta Nadiya Nisaa.