Sekilas
- Filem aksi tempatan Tarung: Unforgiven berjaya meraih kutipan RM20.3 juta sejak tayangan pada 7 Mei lalu.
- Pengarah Razaisyam Rashid dan pelakon utama Aedy Ashraf meluahkan kegembiraan bertemu peminat sepanjang siri jelajah filem di beberapa negeri.
- Filem ini terus mendapat sambutan hangat di pawagam dan media sosial, menjadikan ia antara filem tempatan paling popular sekarang.
Filem aksi tempatan Tarung: Unforgiven terus mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya meraih kutipan terkini sebanyak RM20.3 juta selepas ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 7 Mei lalu.
Pencapaian tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan karya arahan Razaisyam Rashid itu sebagai antara filem tempatan paling hangat diperkatakan ketika ini.
Razaisyam yang juga penulis skrip dan penerbit eksekutif filem tersebut mengakui perkara paling menyentuh hatinya bukan sekadar angka kutipan, tetapi peluang melihat sendiri sambutan penonton sepanjang siri jelajah filem berkenaan.
“Apa yang paling menyentuh hati saya bukan hanya angka kutipan, tetapi peluang untuk melihat sendiri bagaimana Tarung: Unforgiven diterima penonton.
“Sepanjang siri jelajah filem, saya dan Aedy Ashraf berpeluang berjumpa sendiri dengan ramai peminat, berbual secara berdepan dan mendengar sendiri pandangan mereka selepas menonton filem ini,” katanya.
Tambah Razaisyam, dia berharap kejayaan tersebut mampu membuka lebih banyak ruang buat filem aksi tempatan terus berkembang pada masa hadapan.
Sejak mula ditayangkan, Tarung: Unforgiven dilihat konsisten menarik kehadiran penonton selain menjadi topik hangat dalam media sosial termasuk Threads dan TikTok.
Momentum tersebut turut diperkukuhkan dengan pendekatan mesra barisan pelakon seperti Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Azira Shafinaz, Amir Ahnaf dan Bront Palarae yang aktif turun padang menerusi siri jelajah filem.
Hujung minggu lalu, sesi jelajah Zon Utara melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak turut berlangsung meriah dengan kehadiran ribuan peminat yang mahu bertemu pelakon serta penggiat filem tersebut.
Menurut Aedy yang juga penerbit dan penerbit eksekutif filem itu, pengalaman bertemu peminat menjadi antara momen paling bermakna sepanjang perjalanan Tarung: Unforgiven.
“Dari siri jelajah yang dipenuhi penonton, suasana sorakan dan sokongan luar biasa, sampailah di media sosial di mana ramai masih berkongsi komen serta pendapat mereka, semua itu sangat bermakna buat kami.
“Kepada yang belum menonton, sekarang masanya untuk alami sendiri Tarung: Unforgiven di pawagam,” katanya.
Tarung: Unforgiven membariskan pelakon hebat tanah air seperti Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Sky Iskandar dan Aeril Zafrel.