Sekilas
- Seorang suami berkongsi tangkap layar permohonan rasmi isterinya untuk membeli tiket Konsert Gema Bumantara oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mendapat perhatian netizen.
- Siti Nurhaliza membalas hantaran tersebut dengan nada berseloroh, terhibur dengan cara pasangan itu berkomunikasi.
- Konsert Tradisional Gema Bumantara akan diadakan pada 17 Oktober di TM Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai usaha mengangkat muzik tradisional kepada generasi muda.
Seorang individu mencuri perhatian netizen selepas berkongsi tangkap layar 'permohonan rasmi' daripada isterinya yang meminta kebenaran untuk menghadiri Konsert Gema Bumantara oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Menerusi hantaran di Threads, individu yang menggunakan nama Fahmi412 itu berkongsi isterinya telah memohon keizinan daripadanya untuk membeli tiket konsert berkenaan.
“Nak tanya Datuk Seri Siti Nurhaliza betul ke ada buat konsert?. Sebab siti itu Isteriku mintak kebenaran nk tengok..kalau betul,nak minta dia belikan 2 tiket baru saya luluskan permohonan dia ni,” kongsinya.
Hantaran tersebut pantas meraih perhatian ramai, malah turut mendapat respons daripada Siti Nurhaliza sendiri.
Terhibur dengan cara pasangan itu berkomunikasi, penyanyi nombor satu negara itu membalas dengan nada berseloroh.
“Ya Allah comelnya suami isteri ni!! Buat surat permohonan rasmi lagi… Nak shopping kena buat surat jugak tak? Ingat nak mohon jugak dana,” balas Siti.
Terdahulu, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan bakal mengadakan Konsert Tradisional Gema Bumantara di TM Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober depan.
Pengumuman itu dibuat menerusi perkongsian di Instagram yang turut diserikan dengan sesi siaran langsung apabila beliau menghiburkan peminat menerusi lagu Joget Berhibur.
Siti berkata, konsert berkenaan menjadi hadiah istimewa buat peminat selain usaha meraikan dan mengangkat semula keindahan muzik tradisional agar terus kekal relevan merentas generasi.
Sumber: Threads