Sekilas
- Didi Astillah, adik kepada Bella Astillah, telah sah bergelar isteri kepada Diniey Ng dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Cyberjaya pada Jumaat lalu.
- Mereka mula berkenalan secara rawak melalui sesi siaran langsung Instagram enam tahun lalu dan menjalinkan hubungan serius selepas dua tahun berkawan.
- Didi akan terus aktif dalam dunia seni walaupun sudah berkahwin, dengan sokongan penuh daripada suaminya, Diniey.
Penyanyi yang juga adik kepada Bella Astillah, Didi Astillah meluahkan rasa syukur selepas sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya, Diniey Ng atau nama lengkapnya Muhammad Nur Fiqrat Ismat Diniey dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung pada Jumaat.
Menurut Didi atau Dayang Nazilah Awang Astillah, dia tidak menyangka perkenalan yang bermula di media sosial akan membawa mereka hingga ke alam perkahwinan.
“Alhamdulillah, memang gembira sangat-sangat. Sebenarnya hari ini bukan saya yang paling banyak menangis, Diniey yang paling banyak menangis.
“Mungkin sebab terharu dan kita tak sangka kita sampai ke tahap ini. Alhamdulillah,” katanya kepada Gempak.
Mengimbau detik awak perkenalan, Didi berkongsi bahawa dia dan Diniey mula berkenalan secara rawak ketika melakukan sesi siaran langsung di Instagram sekitar enam tahun yang lalu.
“Awal perkenalan sebenarnya bermula ketika saya buat sesi siaran langsung di Instagram. Waktu itu saya nak pilih seorang followers untuk live bersama dan saya pilih Diniey secara rawak sebab ingatkan dia perempuan.
“Bila approve, alamak lelaki! Dia bagitahu masa tu dekat Korea. Saya macam, ‘Betul ke dekat Korea? Background tak macam Korea pun.’
“Jadi dari situlah kami kenal. Selepas itu dia follow saya, dia hantar mesej (DM) dan kemudian kita mula bercakap dan selalu video call,” katanya lagi.
Tambah Didi, mereka kemudiannya terus berkawan selama dua tahun sebelum hubungan mereka bertukar menjadi lebih serius.
“Dua tahun kami berkawan. Selepas dia balik Malaysia barulah kami berjumpa dan rapat.
“Dari situlah kita masuk ke fasa yang lebih serius,” ujarnya.
Ditanya pula mengenai kerjaya, Didi memaklumkan bahawa statusnya sebagai isteri tidak menghalangnya untuk terus aktif dalam dunia seni.
Dalam masa yang sama, dia akan berusaha untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan baik buat Diniey.
“Semuanya berjalan seperti biasa. Didi masih ada tawaran selepas kahwin dan akan terus bekerja macam biasa sahaja.
“Saya tak pernah lagi jadi isteri, jadi doakan saya. Dalam proses ini saya akan belajar serba sedikit, sesuaikan diri dan biasakan diri, insya-Allah,” ujarnya.
Sementara itu, Diniey menyatakan sokongan penuh buat kerjaya Didi dan akan sentiasa berada di belakang penyanyi itu serta berazam menjadi suami yang baik.
“Saya cuba yang terbaik untuk jadi suami yang terbaik. Kalau ada anak nanti saya akan jadi bapa yang terbaik.
“Saya juga memang akan sokong Didi dari A sampai Z. Apa yang dia minat, saya sokong. Itu sahaja,” katanya lagi.
Terdahulu, Didi dan Diniey selamat diijabkabulkan dalam satu majlis yang penuh meriah bertempat di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya pada Jumaat.
Pada majlis tersebut, Didi yang dinikahkan bapanya, Awang Astillah telah menerima mas kahwin sebanyak RM300, sebentuk cincin pada sesi pembatalan air sembahyang serta lima hantaran berbalas tujuh daripada pihak lelaki.