Sekilas
- Aqasha mendedahkan dia pernah terlibat dalam kerja tata audio untuk beberapa filem arahan Allahyarham Mamat Khalid, walaupun tidak menggunakan namanya dalam kredit filem kecuali 'Rock Bro'.
- Aqasha menjelaskan pengalaman seni yang dimilikinya bukan sahaja dalam lakonan dan nyanyian, tetapi juga dalam bidang audio di belakang tabir.
- Perkongsian Aqasha ini menarik perhatian ramai yang tidak menyangka beliau mempunyai kepakaran luas dalam dunia seni selain berlakon.
Pelakon, Aqasha mempunyai hubungan kerja yang cukup istimewa dengan pengarah tersohor, Allahyarham Mamat Khalid yang mungkin tidak diketahui ramai.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Aqasha mendedahkan dia pernah terlibat dalam kerja-kerja tata audio bagi beberapa filem arahan Mamat Khalid.
Menurut Aqasha, sumbangannya itu dilakukan di belakang tabir dan kebanyakan tidak menggunakan namanya sendiri pada kredit filem.
“Aku pasti ramai tak tahu aku ada relationship yang unik dengan arwah abang Mamat Khalid.
“Beberapa filem beliau telah ditata audionya oleh aku. Yours truly. Cuma aku tak letak nama sendiri kecuali filem ‘Rock Bro’,” kongsinya.

Dalam masa sama, Aqasha juga menjelaskan pengalaman yang dimilikinya dalam dunia seni tidak terhad kepada bidang lakonan dan nyanyian semata-mata.
“Ini barang. Satu Malaysia tak tahu. Deme ingat aku ni berlakon dan nyanyi aje. Tidak, sebab itu aku tak segan silu menggunakan gelar ‘anak seni’.
“Aku dah pusing keliling. Dari depan ke belakang kamera. A complete circle,” jelasnya.
Perkongsian tersebut ternyata mendapat perhatian ramai yang rata-ratanya tidak menyangka Aqasha mempunyai kepakaran dalam bidang audio selain berlakon.

