Sekilas
- Seorang juruwang berusia 29 tahun mengaku bersalah merakam kakak iparnya di dalam tandas menggunakan pen perakam di sebuah pasar mini di Kota Bharu.
- Dia didenda RM5,000 atau penjara sembilan bulan jika gagal membayar, selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu.
- Kesalahan itu dikendalikan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Seorang juruwang mengaku diarah membayar denda sebanyak RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan atas pertuduhan merakam video kakak iparnya di dalam tandas di sebuah pasar mini yang merupakan tempat mereka bekerja dengan menggunakan pen perakam, minggu lalu.
Kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 29 tahun itu didakwa telah merakam seorang wanita berusia 30 tahun sedang menyelak baju ketika berada di dalam tandas tanpa pengetahuan mangsa dengan menggunakan kamera perakam untuk mengganggu kesantunannya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Roshayati Hassan.
Ketika prosiding, Muhammad Nadzir memohon agar hukuman setimpal diberikan kerana kejadian tersebut telah menyebabkan mangsa berasa malu.
"Tertuduh mempunyai ikatan kekeluargaan dengan mangsa dan mereka berdua juga bekerja di tempat yang sama. Justeru, mohon hukuman setimpal yang memberi pengajaran kepada tertuduh," katanya.
Roshayari kemudiannya membuat rayuan agar denda minimum diberikan dengan alasan tertuduh yang bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar mini hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan.
"Tertuduh yang masih bujang sudah insaf dengan perbuatan tersebut dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang," katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 dan sembilan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh kemudiannya membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.
Sumber: Sinar Harian