Sekilas
- Rossa memperkenalkan seorang kanak-kanak perempuan bernama Raina sebagai anaknya di Instagram, mengejutkan peminat kerana dia sebelum ini dikenali sebagai ibu tunggal seorang anak lelaki.
- Raina yang berusia 2 tahun dilihat comel mengenakan kebaya sedondon bersama Rossa dan adiknya, Rizky Langit Ramadhan, yang kini berusia 19 tahun.
- Perkongsian Rossa itu mendapat sambutan hangat daripada rakan selebriti dan peminat yang meninggalkan komen serta emoji positif di media sosial.
Penghibur Indonesia, Rossa membuat heboh dunia maya apabila memperkenalkan seorang kanak-kanak perempuan sebagai anaknya.
‘Salam kenal’ itu menjadi perbualan hangat memandangkan Rossa diketahui sudah memegang status ibu tunggal satu anak sejak bercerai dengan suaminya, pemain dram Padi, Yoyo, pada tahun 2009.
Bukan memperkenalkan suami, penyanyi Hey Ladies itu tiba-tiba memperkenalkan seorang kanak-kanak perempuan yang comel sedondon berkebaya dengannya sebagai anak.
“Assalamualaikum pakcik dan makcik serta semua. Namaku Raina, umurku 2 tahun. Aku anak Ibu Rossa, adiknya kaka Rizky,” tulis Rossa pada foto di Instagram.

Tanpa memperincikan butiran periodai Raina, Rossa terus berkongsi beberapa foto anak perempuan itu bersama satu-satunya anak lelakinya, Rizky Langit Ramadhan. Pada satu foto, Rizky dilihat mencium adik perempuannya itu.
Pada satu foto lain pula, Rossa dilihat mendukung Raina sewaktu dia masih berusia kurang dua tahun.
Perkongsian tersebut turut mendapat sambutan hangat dalam kalangan rakan selebriti. Ramai yang meninggalkan emoji serta memberi komen bahagia dengan perkongsian tersebut.
Untuk rekod, anak lelaki Rossa kini sudah berusia 19 tahun sementara penyanyi yang kerap dikaitkan mempunyai hubungan istimewa bersama Afgan itu berusia 47 tahun.