Sekilas
- Pelakon Alif Hadi mengakui pengalaman pernah dicurangi membantunya menjiwai watak Rashid dalam drama Ikatan Terlarang.
- Alif berkata watak Rashid mencerminkan perasaan dan konflik yang pernah dialaminya sendiri dalam hubungan.
- Beliau menegaskan perkongsiannya bukan untuk mengaitkan mana-mana individu, tetapi hanya untuk menjelaskan persamaan dengan watak tersebut.
Pelakon Alif Hadi mengakui dia dapat menjiwai watak Rashid dalam drama Ikatan Terlarang disebabkan pernah melalui pengalaman dicurangi dalam hubungan sebelum ini.
Menurut Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Abdul Hadi, pengalaman tersebut membantunya memahami emosi dan konflik yang dialami oleh watak berkenaan.
“Sejujurnya, watak Rashid ini saya pernah lalui. Jadi, saya tahu macam mana dia rasa. Benda itu (kecurangan) jadi kat saya dulu.
“Saya ada satu alter ego yang macam ‘sebenarnya ini aku nak buat tapi aku tak boleh sebab bukan dibesarkan dengan cara begitu’.
“Jadi watak Rashid itu adalah apa yang saya betul-betul nak luahkan. Bila kena curang dan individu itu curang dengan suami orang.
“Itulah, karakter ini macam ada kejujuran, nampak Rashid ada, Alif Hadi pun ada. Saya memang rasa apa yang Rashid rasakan,” katanya kepada Gempak.
Alif berkongsi perkara itu ketika sesi temu bual bersama pelakon Ikatan Terlarang yang diadakan di Astro, Bukit Jalil pada Selasa.
Dalam pada itu, Alif menjelaskan perkongsiannya mengenai pengalaman dicurangi bukan bertujuan untuk mengaitkan mana-mana individu tertentu.
Sebaliknya, pelakon berusia 37 tahun itu hanya mahu menjelaskan persamaan yang dirasainya dengan watak Rashid yang dilakonkan.
“Saya tak sebut nama sesiapa. Saya pun dah nak masuk 40 tahun, takkan seorang saja (bekas kekasih). Saya hanya berkongsi pengalaman tentang bagaimana hubungan saya dengan watak Rashid itu.
“Selebihnya saya rasa ia pilih orang untuk berdebat. Tapi saya takkan masuk campur. Sebabnya saya hanya berkongsi mengenai watak saja,” ujarnya.