Sekilas
- Rayuan akhir pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq ditangguh ke 13 Julai depan.
- Keputusan rayuan ini akan menentukan sama ada Syed Saddiq kekal bebas atau perlu menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan berkaitan dana ARMADA.
- Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan rayuan tersebut pada tarikh yang ditetapkan.
Rayuan akhir pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ditangguh kepada 13 Julai depan.
Perkara itu diumumkan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais di awal prosiding pada pukul 9.30 pagi tadi, iaitu satu-satunya hakim yang menghadiri prosiding ini.
Abu Bakar berkata, beliau dan Datuk Collin Lawrence Sequerah ada di mahkamah, tetapi Che Mohd Ruzima tidak hadir kerana mereka diberitahu beliau tidak sihat dan bercuti sakit selama dua hari bermula hari ini.
"Kami sebenarnya sudah bersedia dengan keputusan, tetapi malangnya perkara yang tidak diduga ini berlaku hari ini, bagaimanapun kami bersedia untuk menyampaikan keputusan pada 13 Julai ini," katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq tiba di Istana Kehakiman Putrajaya pada pukul 8.49 pagi bagi mengetahui keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasannya.
Syed Saddiq berkata dia akan terus berdoa agar keputusan terbaik berpihak kepadanya selain percaya ketentuan yang diatur Tuhan.
Syed Saddiq sempat bersalaman dengan ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz serta beberapa ahli keluarga lain sebelum masuk ke kamar mahkamah.
Keputusan hari ini sepatutnya akan menentukan sama ada Syed Saddiq kekal bebas atau diperintahkan menjalani hukuman penjara membabitkan empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Sekiranya Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan, bekas Menteri Belia dan Sukan itu akan terus dibebaskan. Namun, jika rayuan dibenarkan, Syed Saddiq berdepan hukuman mengikut sabitan bagi pertuduhan yang dihadapinya.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, bersama Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang akan menyampaikan keputusan rayuan akhir tersebut.