Sekilas
- Pihak ekspedisi Malaysia Everest 2023 memohon Kerajaan Nepal mengeluarkan pengisytiharan rasmi kematian Muhammad Hawari Hashim yang hilang di Gunung Everest sejak Mei 2023.
- Pengisytiharan kematian penting untuk memudahkan urusan keluarga mangsa termasuk tuntutan insurans dan dokumentasi rasmi.
- Hari Everest Sedunia disambut pada 29 Mei, dengan seramai 30 rakyat Malaysia berjaya menawan puncak Everest setakat ini.
Selepas lebih tiga tahun kehilangan pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Muhammad Hawari Hashim di Gunung Everest, pihak ekspedisi kini memohon Kerajaan Nepal mengeluarkan pengisytiharan rasmi kematian bagi membantu melancarkan pelbagai urusan melibatkan keluarga mangsa.
Chef de Mission ME 2023, Tan Sri Salleh Mohd Nor berkata, permohonan berkenaan telah disampaikan kepada Kuasa Usaha Kedutaan Nepal di Malaysia, Mudita Bajracharya, dengan harapan kerajaan negara itu dapat mempertimbangkan perkara tersebut.
Menurut beliau, sehingga kini tiada sebarang dokumen rasmi berkaitan deklarasi kematian dikeluarkan oleh Kerajaan Nepal walaupun kehilangan pendaki itu sudah melepasi tempoh tiga tahun.
Katanya, pengisytiharan berkenaan amat penting bagi memudahkan keluarga Muhammad Hawari menguruskan pelbagai perkara termasuk tuntutan insurans, urusan pekerjaan dan dokumentasi rasmi.
“Dalam pertemuan yang diadakan, wakil Kerajaan Nepal menyatakan kesediaan untuk membantu berhubung perkara yang dibangkitkan.
“Langkah seterusnya ialah mengemukakan surat rasmi kepada kerajaan berkenaan bagi mendapatkan pertimbangan serta tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Everest Sedunia 2026 (Sagarmatha Diwas 2026) di ibu negara pada Khamis.
Pada majlis itu, empat pendaki Everest negara diraikan atas kejayaan mereka menawan puncak tertinggi dunia tersebut.
Mereka ialah pendaki Malaysia Everest pertama, Datuk N Mohanadas Nagappan yang berjaya menawan Everest pada 1997, dua pendaki Projek Everest Felda 2013 iaitu Mohamad Asyraf Mohd Halim dan Zainudin Lot, serta Azim Afif Ishak yang menawan puncak berkenaan pada 2016.
Hari Everest Sedunia disambut setiap 29 Mei bagi memperingati kejayaan pendakian ke Gunung Everest, puncak tertinggi di dunia.
Sehingga kini, seramai 30 rakyat Malaysia berjaya menjejakkan kaki ke puncak Everest, termasuk pendaki terbaharu, Mohd Khafiz Bachok, 47, yang mencapai puncak pada 18 Mei lalu dalam ekspedisi musim bunga.
Muhammad Hawari yang berasal dari Pulau Pinang dan ketika itu bertugas di Muzium Pulau Pinang, berjaya menawan Gunung Everest pada 19 Mei 2023.
Namun, pendaki orang kurang upaya (OKU) pendengaran berusia 33 tahun itu dilaporkan hilang sehari kemudian ketika berada di kawasan berhampiran puncak gunung berkenaan.
Dalam ekspedisi yang sama, Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, disahkan meninggal dunia pada 10.30 pagi waktu Nepal bersamaan 12.45 tengah hari waktu Malaysia ketika menerima rawatan di Kem 4 pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari aras laut.
Sebelum ini, pihak ME 2023 telah mengemukakan laporan perubatan kepada Kedutaan Malaysia di Nepal sebagai sokongan kepada permohonan pengisytiharan kematian Muhammad Hawari.
Laporan yang disediakan Ketua Pegawai Perubatan Mountain Medical Institute, Dr Abhyu G itu mengandungi penilaian profesional mengenai status Muhammad Hawari berdasarkan faktor perubatan serta keadaan persekitaran di Everest.
Menurut laporan tersebut, peluang untuk seseorang terus hidup dalam tempoh yang lama di kawasan puncak Everest adalah sangat rendah kerana lokasi itu berada dalam kawasan dikenali sebagai “Zon Kematian” atau Death Zone pada ketinggian melebihi 8,000 meter.
Di kawasan berkenaan, kandungan oksigen atmosfera berada pada paras yang tidak mencukupi untuk menyokong kelangsungan hidup manusia dalam tempoh berpanjangan.
Laporan itu turut menjelaskan bahawa walaupun menggunakan bekalan oksigen tambahan, pendaki masih berdepan risiko serius seperti hipoksia, keletihan melampau, suhu sejuk ekstrem serta penyakit altitud tinggi termasuk Edema Serebrum Altitud Tinggi (HACE) dan Edema Pulmonari Altitud Tinggi (HAPE).
Sumber: Sinar Harian