Ringkasan AI
- Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menegaskan penganjur Warzone World Championship (WWC) perlu buat permohonan rasmi melalui saluran betul, bukan sekadar hantar permohonan maaf.
- Setiap kejohanan antarabangsa dengan peserta luar negara wajib dapat kelulusan Kementerian Belia dan Sukan melalui Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS).
- Setakat semakan, tiada permohonan rasmi diterima daripada WWC untuk menganjurkan kejohanan di Malaysia.
- PJS akan nilai permohonan berdasarkan keselamatan, kewangan, dan pematuhan kod sukan selamat sebelum beri kelulusan.
- Hannah kritik penganjur WWC yang guna peserta kanak-kanak untuk mohon maaf, dan tegaskan kejohanan itu tidak mendapat kelulusan rasmi seperti yang diwajibkan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa penganjur Warzone World Championship (WWC) perlu mengemukakan permohonan rasmi mengikut saluran yang betul dan bukan sekadar menghantar permohonan maaf kepada pihak kementerian.
Menurut Hannah, sebarang kejohanan antarabangsa yang melibatkan peserta luar negara wajib mendapatkan kelulusan dan kebenaran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terlebih dahulu, khususnya melalui Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS).
“Sebarang kejohanan antarabangsa yang melibatkan peserta-peserta luar negara perlu dapatkan kelulusan dan kebenaran daripada Kementerian Belia dan Sukan.
“Melalui permohonan tersebut, banyak syarat akan diteliti oleh Pesuruh Jaya Sukan bagi memastikan penganjuran program selamat serta mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan seperti permit dan sokongan keselamatan,” katanya kepada Gempak.
Hannah turut memaklumkan bahawa setakat semakan dibuat, tiada permohonan rasmi diterima daripada pihak WWC untuk menganjurkan kejohanan berkenaan di Malaysia.
“Untuk kejohanan ini, memang kita dah semak dan tiada permohonan.
Kalau mereka mahu teruskan, mereka perlu pohon 30 hari sebelum kejohanan antarabangsa berlangsung dan mesti mengikuti syarat-syarat ditetapkan oleh Pesuruh Jaya Sukan.
“Mohon maaf bukan kelulusan permohonan,” tegasnya.
Katanya lagi, PJS akan menilai setiap permohonan berdasarkan ciri keselamatan, kemampuan kewangan, dan pematuhan kepada kod sukan selamat bagi mengelakkan sebarang kesan negatif terhadap nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Pesuruh Jaya Sukan akan melihat keupayaan kewangan penganjur untuk pastikan bila mereka menganjurkan pertandingan antarabangsa, nama Malaysia tidak akan terjejas sekiranya mereka gagal melaksanakan tanggungjawab,” ujarnya.
Terdahulu, Hannah meluahkan rasa sedih dan ralat terhadap tindakan penganjur WWC yang didakwa menggunakan peserta kanak-kanak untuk mengemukakan permohonan maaf kepada KBS berhubung isu penganjuran tersebut.
Hannah menegaskan tindakan itu tidak wajar dan menimbulkan persoalan tentang tanggungjawab serta etika penganjur, memandangkan kejohanan itu tidak mendapat kelulusan rasmi daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) seperti yang diwajibkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.
Kementerian sebelum ini mengesahkan bahawa kejohanan WWC yang dijadual berlangsung Disember ini tidak mendapat kelulusan, dan menekankan bahawa setiap acara sukan perlu mendapat kebenaran PJS demi memastikan keselamatan serta kebajikan peserta, terutama yang melibatkan kanak-kanak.