Sekilas
- Yusry Abdul Halim menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan akaun palsu yang menggunakan identitinya di media sosial.
- Penipu tersebut menggunakan gambar profil dan kandungan dari akaun rasmi Yusry untuk mengelirukan pengguna.
- Beberapa akaun palsu dipercayai meletakkan QR Bank untuk tujuan penipuan dan keuntungan haram.
Penyanyi, pelakon dan pengarah terkenal, Yusry Abdul Halim memohon orang ramai agar lebih berhati-hati susulan kewujudan akaun palsu yang menggunakan identiti dirinya di media sosial.
Menerusi perkongsian di Threads, Yusry berkata individu tidak bertanggungjawab itu dipercayai cuba memperdayakan orang ramai dengan menyamar sebagai dirinya.
“Saya diberitahu ada akaun palsu yang menggunakan nama saya. Hati-hati ya. Mereka adalah scammers,”tulisnya.
Pelakon drama Dendam Seorang Mentua itu turut memaklumkan bahawa pelaku berkenaan bukan sahaja menggunakan namanya, malah mencuri gambar profil serta kandungan dari akaun rasmi miliknya bagi mengelirukan pengguna.
“Gambar profile dan content mereka curi dari akaun saya. Sekali imbas memang nampak seperti akaun saya. Lihat pada ejaannya,” ujarnya
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang turut meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan scammers, malah ada yang mendakwa segelintir pelaku dipercayai meletakkan QR Bank demi meraih keuntungan.