Sekilas
- Zaki Yamani dan Ahmad Merrah tular dengan konten mengajuk bapa mereka yang dibuat sebagai gurauan dan hanya untuk tontonan kawan-kawan.
- Zaki tidak sangka video itu mendapat sambutan besar dan mengakui risau jika konten tersebut disalah erti oleh sesetengah pihak.
- Walaupun bapa mereka tidak beri reaksi berlebihan, Zaki dan Merrah berjanji akan terus buat konten tapi tidak melampaui batas.
Nama penyanyi, Zaki Yamani semakin menjadi sebutan selepas kontennya bersama anak penyanyi, Datuk Awie iaitu Ahmad Merrah yang mengajuk bapa masing-masing tular dan menjadi sebutan warganet.
Ujar Zaki yang juga anak kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, dia sama sekali tidak menyangka konten tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Saya tak sangkalah video konten saya bersama Merrah akan naik. Kalau naik pun tak adalah sampai macam ini sekali.
“Sebenarnya saya dan Merrah baru saja buat konten ini penghujung tahun lalu. Dan pada waktu itu pun kami hanya buat untuk tontonan kawan-kawan saja.
“Kami pun baru saja kenal tapi mungkin rezeki tahun 2026 dan konten kami itu mendapat sambutan,”katanya.
Dalam masa yang sama, Zaki mengakui berasa takut sekiranya konten yang dilakukan bersama Merrah disalah erti dan tidak diterima sesetengah pihak.
“Bila dah jadi sebutan pula, saya terasa macam takut. Takut-takut kalau ada yang kata kami ini macam derhaka mengajuk ayah sendiri.
“Sebenarnya kami lakonkan sahaja gaya dan perwatakan ayah kami dan anggaplah konten kami itu sebagai gurauan,” katanya kepada Gempak.
Zaki berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis anugerah Gempak Most Wanted Award 2025 (GMWA2025), baru-baru ini.
Ditanya mengenai penerimaan Jamal Abdillah, Zaki memaklumkan bapanya tidak memberikan reaksi berlebihan terhadap konten yang dilakukannya.
Walau bagaimanapun, Zaki berkata dia dan Merrah akan sentiasa berhati-hati agar tidak melakukan konten yang melampaui batas.
“Ayah saya okay saja sebab dia seorang yang nonchalant, dia diam saja. Tapi kalau ayah Merrah iaitu Datuk Awie ada pesan supaya jangan terlampau berlebihan.
“Jadi apa yang saya boleh katakan ialah saya dan Merrah akan teruskan buat konten macam itu tapi tak akan melampaui batas,” katanya lagi.
Terdahulu, video Zaki dan Merrah yang mengajuk bapa masing-masing tular dan meraih perhatian.
Konten yang dilakukan mereka itu mendapat sambutan sehinggakan mereka dijemput ke radio ERA untuk berkongsi mengenai idea penghasilan video tersebut.