Sekilas
- Arfie Shah bercita-cita untuk membawa watak hero romantik walaupun tidak memenuhi stereotaip tipikal hero drama tempatan.
- Dia terbuka untuk menjayakan genre romantik komedi yang sudah lama menjadi kegemarannya sejak kecil.
- Arfie kini aktif dengan pelbagai projek seni termasuk filem dan drama yang sudah siap dirakam tetapi belum ditayangkan.
Pelakon Arfie Shah memberitahu dia ada menyimpan impian untuk membawakan watak hero romantik meskipun menyedari penampilannya mungkin tidak memenuhi stereotaip tipikal hero drama tempatan.
Arfie, bagaimanapun berkata dia percaya setiap pelakon mempunyai kekuatan dan identiti tersendiri, selain berpendapat karakter hero tidak semestinya perlu terikat dengan rupa atau imej tertentu.
“Sudah tentu saya berminat untuk membawa watak hero romantik. Mungkin penampilan saya tidak sama seperti gambaran hero yang sering orang lihat dalam drama-drama biasa.
“Tetapi bagi saya, hero itu ada pelbagai jenis dan setiap karakter mempunyai daya tarikannya sendiri. Saya juga tidak pernah cuba bersaing untuk jadi watak tertentu.
“Saya hanya cuba menjadi diri sendiri dan memberikan yang terbaik berdasarkan kekuatan saya sebagai pelakon,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi lanjut, pelakon berusia 32 tahun itu berkata dia juga terbuka untuk menjayakan karya bergenre romantik komedi atau romcom yang disifatkan sebagai antara genre paling dekat dengan dirinya sejak kecil.
“Teringin juga buat romcom. Sebenarnya itu antara genre yang paling saya suka sejak dulu lagi. Saya membesar dengan menonton banyak filem dan drama romantik komedi, jadi genre itu sangat dekat dengan diri saya.
“Walaupun saya seronok melakukan pelbagai genre termasuk aksi dan thriller, romcom tetap mempunyai tempat istimewa kerana saya memang suka cerita yang ringan, manis dan menghiburkan.
Dalam masa sama, Arfie turut berkongsi perkembangan kerjaya seninya yang kini semakin aktif dengan pelbagai projek yang dijangka akan keluar tidak lama lagi.
“Sejak tahun lalu saya sebenarnya banyak terlibat dengan penggambaran termasuk di Taiwan. Ada beberapa filem, drama dan projek lain yang sudah selesai dirakam, cuma masih belum ditayangkan lagi.
“Kadang-kadang orang ingat saya senyap atau sudah tidak aktif, padahal banyak projek sudah siap dan hanya menunggu masa untuk ditayangkan,” ujarnya.
Sekadar info, teater Tarik Picu dijadual berlangsung bermula 16 hingga 19 Julai 2026 di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).
Karya nukilan Amar Amir dan arahan Fazleena Hishamuddin itu turut dibarisi pelakon seperti Idan Aedan, Jay Iswazir, Khenobu serta Amalina Arham.
Tiket pementasan akan mula dijual bermula 16 Jun ini menerusi OneTix dengan harga bermula RM58 hingga RM108.