Suami kepada penyanyi Syura Badron, iaitu Farizat Ismail, memberitahu isterinya masih lagi menerima rawatan dan pemantauan rapi di Unit Rawatan Ketergantungan Tinggi (HDU) di sebuah pusat perubatan di ibu kota.
Menurut Farizat, isterinya telah dikejarkan ke unit kecemasan pusat perubatan berkenaan selepas mengalami demam yang teruk beberapa hari lalu ketika berada di Port Dickson, Negeri Sembilan sempena menghadiri sebuah acara di sana.
“Mula-mula dia demam, ingatkan demam biasa sebab masa tu kami ada event di Port Dickson. Tapi hari Rabu tiba-tiba dia mula menggigil kuat.
"Saya bagi ubat macam biasa, tapi demam dia tak kebah dan dia tak boleh bangun. Masa tu saya dah rasa pelik.
“Bila buat blood test di klinik, bacaan infection dia sangat tinggi, lebih daripada 8 dan 9. Doktor terus refer ke hospital,” katanya kepada Gempak.
Advertisement
Hasil pemeriksaan lanjut melalui imbasan CT Scan kemudian mengesahkan terdapat jangkitan kuman dalam darah, yang turut memberi kesan kepada buah pinggang sebelah kanannya.
“Doktor cakap kalau lambat sehari dua, keadaan boleh jadi sangat kritikal. Kuman itu kuat sangat sampaikan antibiotik pun tak berkesan, dia (Syura) muntah balik dan tak boleh terima ubat,” ujar Farizat lagi.

Tambahnya, Syura berada hampir enam jam di Jabatan Kecemasan sebelum dipindahkan ke Unit HDU sekitar jam 9 malam tadi untuk pemantauan rapi.
“Hari pertama di HDU, dia masih belum stabil, demam on dan off, tekanan darah naik turun, jantung pun lemah. Doktor minta tambah sehari lagi untuk pantauan sebab antibiotik masih sedang lawan kuman,” katanya.
Tambah Farizat, punca sebenar jangkitan itu masih belum dikenal pasti, namun doktor mengesyaki ia mungkin berpunca daripada jangkitan bawaan udara atau makanan (airborne/foodborne infection).
“Doktor cakap minggu lepas ada dua kes yang sama, tapi masih belum dapat kenal pasti jenis kuman.
"Sepanjang dirawat, saya lihat keadaan isteri saya sangat lemah. Kadang-kadang suhu badan naik sampai 40 hingga 41 darjah, bernafas pun macam orang tekan. Dia atas katil je, wayar penuh satu badan,” kongsinya.
Mengulas lanjut, Farizat berkata walaupun isterinya dikenali sebagai seorang yang kuat dan degil menahan sakit, kali ini keadaannya benar-benar di luar kemampuan.
“Dia selalu tahan sakit, tapi kali ni dia sendiri yang minta tolong cepat-cepat. Nampak sangat dia dah tak larat. Saya memang panik sebab tak pernah tengok dia macam tu,” kongsinya.
Walaupun berdepan ujian besar itu, Farizat bersyukur kerana anak-anak mereka berada dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah anak-anak semua okay. Tahun lepas masa saya jatuh sakit, dia yang jaga saya. Tahun ni terbalik pula dan lebih menyentuh hati, kejadian ni berlaku pada hari yang sama (Sabtu),” ujarnya lagi.

Terdahulu, Farizat berkongsi kemas kini di Instagram keadaan penyanyi lagu Candak itu yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Ketergantungan Tinggi (HDU) namun tidak memaklumkan punca sebenar sakit isterinya itu.