Sekilas
- Kumpulan ALPHA kecewa apabila lagu mereka, P. Ramlee Saloma, gagal ke separuh akhir Anugerah Juara Lagu walaupun awalnya dijemput untuk ke peringkat tersebut.
- Mereka tetap positif dan menghargai sokongan peminat setia mereka, Alphanites, yang sentiasa memberi dorongan melalui media sosial.
- ALPHA menganggap kegagalan ini sebagai sebahagian daripada perjalanan seni dan bertekad untuk terus maju tanpa berputus asa.
Kumpulan ALPHA meluahkan rasa kecewa apabila lagu nyanyian mereka iaitu P. Ramlee Saloma gagal tembus ke pentas separuh akhir Anugerah Juara Lagu (AJL).
Menurut Rizal Rasid, mereka sebenarnya sudah menerima jemputan daripada pihak penganjur yang menyatakan mereka layak ke pentas separuh akhir.
“Yang buatkan kitaorang sedikit kecewa sebab kita sebelum ini dah terima jemputan daripada pihak sana yang mengatakan kita dah layak untuk ke semi final.
“Kitaorang pun bukanlah nak kata tak berharap, sebab AJL adalah satu pentas yang sangat besar untuk kita semua, tapi bila dapat berita yang sebegitu, kita terkejutlah,” ujar Rizal.
Walaupun berdepan kekecewaan, ALPHA menegaskan mereka tetap positif dan menghargai setiap sokongan yang diberikan oleh peminat setia mereka, dikenali sebagai Alphanites.
Dalam masa sama, kumpulan itu melihat situasi tersebut sebagai sebahagian daripada asam garam berada dalam dunia seni.
“Kami baik-baik sahaja, dan kami nak ucap terima kasih kepada Alphanites yang sudi untuk undi kami. Tak kira apa pun, korang sentiasa ada untuk kami.
“Korang hantar DM kat TikTok, kat Instagram, dan banyak lagi tempat. You guys have always been there for us from the beginning sampai sekarang.
“Memang tahun ni mungkin rezeki kita belum lagi. Kami pun tak naklah rasa down. Kita kecewa sikit, mungkin kecewa sikit tapi ianya bukan pengakhiran. This is not the end,” tambah mereka.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat memberikan kata-kata semangat buat semua ahli kumpulan Alpha yang dianggotai oleh Daniel, Rizal, Ariel, RayD, Izat, Arraf, dan Sky.