Budu sinonim sebagai penambah rasa dan pembangkit selera apabila kita menikmati hidangan nasi. Selain budu, tempoyak, pekasam, cencalok dan sambal belacan menjadi kegemaran kebanyakan rakyat Malaysia.
Jika sebelum ini budu lazimnya dinikmati dalam bentuk berkuah bersama cili padi dan perahan limau, tetapi kini makanan tradisional masyarakat Pantai Timur itu boleh didapati dalam bentuk serbuk.
Budu serbuk atau ‘Debudu’ merupakan hasil ciptaan sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan (PPTSM) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perikanan Malaysia (FRIM).
Jika sebelum ini budu disediakan dalam bentuk cecair di dalam botol dan mempunyai bau yang kuat, budu jenis serbuk ini sememangnya dicipta untuk menembusi pasaran luar negara.
Menurut Ketua penyelidik, Dr Fisal Ahmad, teknik penghasilan budu serbuk sama seperti susu tepung iaitu menggunakan mesin Ultra Sonic Spray Dried.
“Apa yang berlaku ialah larutan budu ditapis dan dicampur dengan maltodektri, iaitu sejenis bahan yang boleh mengekalkan perisa dan membantu pembentukan pepejal serbuk budu semasa proses pengeringan berlaku. Larutan tersebut akan disedut masuk melalui bahagian kepala semburan mesin yang akan menukar cecair tadi kepada bentuk semburan halus,” katanya kepada Bernama.
Debudu mempunyai tiga perisa iaitu perasa asli, perasa tambahan (cili dan bawang) serta serbuk perasa yang sangat lazat jika digunakan bersama daging burger dan masakan yang dipanggang atau dibakar.
Jika ada sesiapa yang sudah mencuba budu serbuk, mungkin boleh kongsikan pengalaman dan perbezaan budu cecair dan budu serbuk.