Sekilas
- Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan kejadian seks luar tabii oleh seorang pelakon lelaki berusia 35 tahun dan siasatan masih berjalan.
- Pelakon tersebut mendedahkan pernah menjadi mangsa gangguan seksual sejak kecil oleh individu dalam keluarganya yang juga mempunyai pengaruh dalam industri seni.
- Pelakon itu berharap siasatan dijalankan secara adil dan profesional serta enggan memberikan komen lanjut buat masa ini.
Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan kejadian seks luar tabii daripada seorang pelakon lelaki pada, Sabtu.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus yang memaklumkan menerima laporan berkenaan pada pukul 6.11 petang.
"Kes ini membabitkan lelaki tempatan berusia 35 tahun dan ia masih dalam siasatan pihak polis," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Ahad.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, pelakon lelaki terbabit mendedahkan pernah melalui detik silam ketika kanak-kanak apabila menjadi mangsa gangguan seksual.
Pelakon terbabit yang pernah tampil dalam beberapa drama popular di televisyen mendedahkan perkara itu di laman Threads.
Dia mendakwa pernah diliwat ketika masih kecil oleh individu dalam keluarganya sendiri, malah dikatakan turut mempunyai pengaruh dalam industri seni.
Pelakon yang mendakwa dirinya diserang secara seksual ketika remaja berharap siasatan yang telus dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan itu.
Pelakon berkenaan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu , dan memberi ruang siasatan dijalankan pihak berkuasa.
"Saya berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan secara adil dan profesional, buat masa ini saya tidak akan memberikan sebarang komen lanjut," katanya ringkas ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Sumber - Harian Metro