Sekilas
- Azhar Sulaiman menyokong kritikan Rita Rudaini terhadap kepimpinan dan pemilihan pelajar di MUAFAKAT MRSM Sungai Besar yang turut dirisaukan ibu bapa lain.
- Azhar berharap Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dapat campur tangan untuk menyelesaikan isu yang semakin rumit ini.
- Dua tokoh akademik MUAFAKAT mengambil tindakan undang-undang terhadap Rita atas dakwaan fitnah dan notis tuntutan RM1 juta yang tidak dipatuhi.
Pelakon Azhar Sulaiman tampil bersuara mengenai tindakan aktres Rita Rudaini yang sebelum ini mengkritik kredibiliti Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Sungai Besar, Mohd Roslan Mohd Nor, serta timbalannya, Saidah Haris @ Harith.
Menurut Azhar, pandangan Rita itu mewakili suara kebanyakan ibu bapa yang turut menyuarakan keresahan mengenai isu pemilihan pelajar dan kepimpinan dalam MUAFAKAT MRSM.
Menerusi hantaran di Facebook, Azhar berharap Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dapat mencari jalan penyelesaian segera bagi meredakan keadaan yang disifatkannya semakin kusut.
“Assalam to Boss MARA yang kami sayangi.
“Berdasarkan tinjauan suara oleh saya di medsos, rata-rata ibu bapa bersependapat dengan Cik Rita Rudaini dalam hal pemilihan pelajar-pelajar ke Mara.
“Mungkin a few words from you, sir, akan menjernihkan keadaan yang mula menjadi kusut unnecessarily for MARA.Thank you Boss,” tulisnya.

Sebelum ini, dua tokoh akademik itu nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap Rita selepas dakwaan fitnah didakwa berlarutan beberapa bulan dan notis tuntutan RM1 juta sebelum ini tidak dipatuhi.
Peguam mereka, Datuk Adnan Seman, berkata saman difailkan selepas mendapati Rita, atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 49, memuat naik beberapa kenyataan berbaur fitnah menerusi Instagram, WhatsApp dan beberapa platform komunikasi lain.
Antara dakwaan fitnah yang dipertikaikan termasuk melabel mereka sebagai bongkak, narsis, tidak profesional, ‘prof kangkung’, gila jawatan, penipu serta tidak layak menerajui MUAFAKAT.
Kenyataan itu turut dikaitkan dengan dakwaan salah urus wang ibu bapa, sehingga mencetuskan penerbitan artikel mengenai kepincangan MUAFAKAT MRSM Sungai Besar.
Untuk rekod, Mohd Roslan merupakan pensyarah kanan Universiti Malaya serta ahli beberapa Majlis Agama Islam Negeri, manakala Saidah ialah pensyarah cemerlang Institut Pendidikan Guru, Munsyi Dewan Bahasa serta Panel Pembangunan Sijil Kemahiran Malaysia.
Terdahulu, Rita mendakwa wujud kepincangan dalam kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (MUAFAKAT) di MRSM Sungai Besar, yang kemudiannya mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
Sumber: Facebook Azhar Sulaiman