Sekilas
- Mimi Lana beri respon terhadap komen negatif yang menggelar filem seram terbaharunya, Polong, sebagai 'sampah'.
- Pelakon itu menegaskan setiap filem memberi impak berbeza kepada penonton dan menganggap kritikan tersebut keterlaluan.
- Dia mengajak individu tersebut untuk berbincang secara konstruktif tentang aspek yang kurang memuaskan dalam filem tersebut.
Pelakon, Mimi Lana tampil memberikan respon terhadap kenyataan seorang individu yang menyifatkan filem seram terbaharu yang dibintanginya iaitu Polong adalah ‘sampah’.
Pemilik nama penuh Mimi Roziana Zainal Abdin,31 itu berkata bahawa setiap filem memberi kesan berlainan pada setiap penonton, maka untuk menggelarkan sesbuah karya sebagai ‘sampah’ adalah agak keterlaluan.
“Tak semua filem akan memberi impak yang sama kepada setiap penonton, dan itulah keindahan dalam dunia seni.
“Namun, untuk menyifatkan sesebuah filem sebagai sampah agak keterlaluan terutama apabila ramai yang benar-benar terhibur, ketawa dan menikmati pengalaman tersebut bersama kami,”tulisnya.
Dalam masa sama, Mimi yang membawa watak sebagai Fatima dalam filem tersebut turut menyarankan agar individu tersebut seeloknya memilih pendekatan perbincangan bagi penambahbaikan sesebuah naskhah.
“Mungkin lebih menarik jika kita berbincang tentang bahagian mana yang kurang menjadi pada pandangan anda kerana setiap filem yang dihasilkan adalah penuh dengan usaha, jiwa dan kerja keras daripada ramai pihak di belakang tadbir.
“Apa pun terima kasih kerana telah meluangkan masa untuk menonton filem ini. Kami amat menghargai sokongan dan pandangan anda,”ujarnya.
Sumber: Threads