Sekilas
- Pelakon Zizie Izette berkongsi rasa pilu dan kehilangan mendalam selepas pemergian suaminya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, di Instagram.
- Zizie memuji suaminya sebagai seorang yang berhati mulia, penyayang, dan sentiasa menjaga ibadah walaupun dalam kesihatan yang merosot.
- Bung Moktar, tokoh politik Sabah yang baru sahaja menang kerusi DUN Lamag, meninggal dunia akibat masalah kesihatan di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu.
Pelakon Zizie Izette berkongsi hantaran pilu di Instagram, sehari selepas pemergian suaminya, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
Menerusi Instagram Story terbaharunya, Zizie memuat naik sepotong video suaminya bersama dua anak kecil mereka sambil menzahirkan rasa kehilangan yang sangat mendalam.
"Allow me to grieve tonight. Inilah dia, seorang yang selalu mengalah dengan anak-anak dan membahagiakan anak-anak atau orang sekeliling. Berhati mulia, suka bersedekah. Seorang yang sentiasa menjaga solat dan sentiasa bertasbih walau di mana dia berada, tak lekang dengan zikir di bibir," tulisnya.

Dalam hantaran yang sama, Zizie meluahkan kerinduan meski tidak sempat memberi ucapan terima kasih terakhir kepada suami yang telah banyak berkorban demi keluarga.
"Tonight I feel completely lost, wishing I had just a little more time to hug him and tell him, and to thank him properly for everything he has done for our family," tambah Zizie lagi.
Sebelum ini, Zizie turut berkongsi beberapa siri hantaran lain yang menggambarkan keadaan kesihatan suaminya yang semakin merosot serta permintaan agar orang ramai mendoakan kesembuhan.
Zizie menggambarkan suaminya sebagai lelaki baik, pemurah, penyayang, rendah hati dan sentiasa menjaga ibadah.
Pemergian Bung Moktar, seorang tokoh politik yang dikenali kerana ketegasan dan penglibatan aktif dalam pembangunan Sabah meninggalkan kesan besar bukan sahaja buat arena politik negara, malah kepada rakan-rakan, keluarga serta rakyat yang pernah menerima bantuannya.
Bung Moktar, 66, disahkan meninggal dunia di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Sabah pada jam 1.46 pagi Jumaat akibat masalah kesihatan. Allahyarham baru sahaja mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag untuk penggal kedua pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 baru-baru ini.