Sekilas
- Zahid Baharudin akan mengadakan showcase pertama untuk mengimbau nostalgia sepanjang penglibatannya dalam Akademi Fantasia musim kedua.
- Showcase bertajuk ‘Malam Realiti Juara Yang Sebenar’ akan berlangsung pada 15 Februari dan peminat diminta memakai pakaian berona oren.
- Pembeli tiket termahal berharga RM158 berpeluang makan roti canai bersama Zahid di belakang pentas, satu tradisi yang sinonim dengan dirinya sejak AF2.
Penyanyi, Zahid Baharudin bakal mengadakan showcase buat kali pertama sepanjang penglibatannya dalam industri hiburan tanah air.
Menerusi Threads, bekas juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2) itu memaklumkan bahawa showcase berkenaan adalah untuk mengimbau kembali nostalgia kesemua minggu sepanjang penglibatannya dalam program berkenaan.
Tambah Zahid yang berseloroh, showcase itu juga bertujuan untuk mengingatkan semula penonton bahawa dirinya merupakan juara yang sebenar.
“Assalamualaikum warga Thread, malam untuk mengimbau nostalgia sepanjang 10 minggu dalam AF2 dulu. Juga malam peringatan juara yang sebenar,” kongsinya.
Lebih menarik, Zahid memaklumkan pembeli tiket termahal berpeluang untuk menikmati juadah roti canai bersamanya di belakang pentas.
Bukan itu sahaja, penyanyi berusia 45 tahun ini juga meminta peminat yang bakal hadir untuk mengenakan pakaian berona oren yang begitu sinonim dengan dirinya sepanjang penglibatan dalam AF2, lebih dua dekad yang lalu.
“Tiker paling mahal (RM158) berpeluang untuk makan roti canai bersama Zahid di belakang pentas.
“Sebarkan pada kawan-kawan yang pernah AFUNDI ZAHID. Jangan lupa baju oren ya!,” kongsinya.
Sekadar info, roti canai juga merupakan elemen yang begitu sinonim dengan Zahid sewaktu penyertaannya dalam AF2.
Selepas dinobatkan sebagai juara, Zahid mengotakan janji dengan mengadakan ‘kenduri’ roti canai kepada penyokong setia yang mengundinya.
Sementara itu, showcase yang diberi nama ‘Malam Realiti Juara Yang Sebenar’ itu akan diadakan pada 15 Februari depan.
Sumber: Threads