Sekilas
- Khai Bahar dan Yulia Kamelia bergabung dalam single duet terbaru berjudul ‘Toksik’ yang diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia.
- Yulia mengakui lagu ini mencabar dari segi teknikal dan emosi, manakala Khai memuji keseimbangan unik dalam gabungan vokal mereka.
- ‘Toksik’ kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube.
Sony Music Entertainment Malaysia mempersembahkan sebuah kolaborasi istimewa yang menyatukan penyanyi, Khai Bahar dan Yulia Kamelia, menerusi single duet terbaharu berjudul ‘Toksik’.
Mengulas mengenai kolaborasi itu, Yulia mengakui dia berasa teruja sebaik sahaja mengetahui gandingannya adalah Khai Bahar.
“Dia seorang yang peramah dan saya bekerjasama dengan Khai pun tak rasa janggal.
“Mengenai ‘Toksik’ pula, pada saya ini antara lagu yang sukar bagi saya dari segi teknikal, harmoni dan emosi.
“Saya cuba sesuaikan nyanyian saya dengan Khai, dan itu menjadi pengalaman yang sangat berharga,” katanya kepada Gempak.
Sementara itu, Khai berkata gabungan vokalnya bersama Yulia menghasilkan keseimbangan dan chemistry yang unik.
“Suara Yulia ada kelembutan, bila digabung dengan tona suara saya, kami dapat satu keseimbangan yang semulajadi.
“Tidak bertindih, tidak juga bersaing, sebaliknya saling melengkapi.
Dalam pada itu, Yulia berkata dia dapat merasakan hubungan yang mendalam dengan lagu ‘Toksik’ sejak pertama kali mendengar demo.
“Setiap bait liriknya penuh makna. Melodi lagu ini juga kuat dan mudah diingati.
“Saya letakkan diri saya dalam lagu ini seolah-olah saya sedang berada dalam hubungan toksik tersebut,” ujarnya.
Lagu ini merupakan hasil sentuhan komposer prolifik Farouk Roman, lirik oleh Adrianna Cinta dan diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia.
Single ‘Toksik’ oleh Khai Bahar dan Yulia Kamelia ini kini boleh distrim di semua pelantar digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.