Penyanyi, Misha Omar meluahkan rasa terharu apabila melihat wajahnya terpampang di papan iklan digital ikonik, Times Square, New York menerusi kempen #SpotifyEQUAL.
Menurut Misha atau mesra disapa Kak Mitch, momen bersejarah itu menjadi salah satu pencapaian paling bermakna sepanjang lebih dua dekadnya dalam industri muzik tanah air.
Advertisement
“Melihat wajah Kak Mitch terpampang di billboard Times Square, New York adalah saat yang tidak mungkin saya lupakan seumur hidup. Jauh di sudut hati, ini bukan hanya kejayaan saya, tetapi kejayaan kita bersama,” katanya.
Misha turut menzahirkan penghargaan kepada Spotify Malaysia dan Spotify Singapura kerana terus mengangkat suara wanita dalam industri muzik.
Bagi penyanyi yang sudah 23 tahun mewarnai dunia hiburan itu, muzik bukan sekadar kerjaya, tetapi legasi yang sarat dengan cinta serta kekuatan untuk disampaikan kepada para pendengar.
“Sebagai wanita, setiap suara membawa seribu kisah tentang kekuatan, kasih sayang dan kecekalan. Setiap kali saya melangkah ke pentas, menyanyi setiap bait lagu dan mengharungi pelbagai cabaran, tanpa sedar kita sebenarnya sedang membina jambatan untuk generasi wanita seterusnya bersinar dengan lebih terang.
“Momen seperti ini menguatkan lagi kepercayaan saya bahawa muzik adalah legasi hati yang akan terus bersemi dan menyentuh jiwa semua.
“Ucapan terima kasih buat label yang memayungi saya selama ini, tanpa kasih sayang, sokongan dan kepercayaan tidak mungkin kerjasama kita sampai ke usia 23 tahun bersama,” katanya lagi.