Skip to main content

Hiburan

Vokalis Nidji Hormat Peraturan Malaysia, Tak Berhasrat Buka Baju Di Atas Pentas - “Harus Menyesuaikan Diri…”

FDVDVF

Sekilas

  • Vokalis Nidji, Ubay, menjelaskan dia tidak akan buka baju ketika konsert di Malaysia kerana menghormati peraturan setempat dan cuaca yang berbeza.
  • Ubay sentiasa bersenam secara rutin untuk memastikan stamina dan tenaga kekal optimum sepanjang persembahan yang rancak.
  • Nidji akan berkolaborasi dengan Bunkface dalam konsert di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 21 Disember ini.

Vokalis kumpulan Indonesia, Nidji, iaitu Ubay, menjelaskan bahawa meskipun sering dilihat membuka baju di atas pentas ketika membuat konsert di negaranya, dia tidak berhasrat untuk melakukan perkara yang sama di Malaysia.

Ubay atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Nur Ubay, berkata dia menghargai dan menghormati setiap peraturan yang berbeza mengikut lokasi konsert.

“Kami menghargai setiap peraturan mengikut tempat sebab semuanya berbeza-beza. Jadi saya harus menyesuaikan diri.

“Kadang-kadang buka baju di Indonesia itu pun sebab cuaca di sana sangat panas,” jelas Ubay.

Ubay berkongsi perkara itu pada sidang media Konsert Nidji X Bunkface yang berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu, Ubay yang sering dilihat berkongsi foto badannya yang sasa di media sosial, mengakui bahawa dia sentiasa bersenam secara rutin.

Menurutnya, bersenam bukan sekadar untuk penampilan, tetapi untuk memastikan stamina sentiasa berada di tahap maksimum.

“Bersenam itu penting kerana Alhamdulillah jadual kerja saya dan Nidji padat dan ia membantu saya menjaga kesihatan,” ujarnya.

Ubay berkata, persembahan mereka yang mempunyai rentak rancak memerlukan tenaga yang banyak, dan dia tidak mahu cepat penat di tengah-tengah konsert.

“Tenaga kami kena maksimum sebab bila buat persembahan ada lagu rentaknya sangat rancak… tak mahulah baru 15 minit sudah penat. Saya mahu bekerja sambil bergembira, jadi kena jaga tubuh badan.

“Hampir setiap hari saya bersenam, supaya nafas dan stamina saya sentiasa kuat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nidji bakal tampil bersama kumpulan Bunkface dalam sebuah konsert di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 21 Disember ini.

Must-Watch Video

Advertisement