Pelakon, Que Haidar tidak menyangka video ‘lipsync’ lagu Jamilah yang dimuat naik di TikTok baru-baru ini menjadi tular sehingga mencetuskan fenomena dalam kalangan pengguna media sosial.
Menurut Que, 46, video berkenaan sebenarnya dirakam secara spontan ketika dirinya sedang mengantuk dan ingin tidur.
Advertisement
“Saya ketika itu mengantuk dan nak tidur. Hidup saya pula tak berapa meriah dan ‘scroll’ TikTok pada pukul 2 pagi kemudian nampak ada seorang lelaki ‘miming’ lagu Jamilah.
“Kemudian saya rasa lagu itu mengimbau zaman kanak-kanak saya dan terus rasa nak buat juga. Katil besar, tiada orang pula di sebelah, nak buat apa lagi? Jadi, kita hiburkan diri dengan lakukan video itu sebelum tidur,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan segmen 3 Pagi Era hari ini.
Tambah pelakon filem Rock itu, dia pada awalnya sekadar mahu menghiburkan diri namun tidak menyangka video berkenaan akan mendapat sambutan luar biasa.
“Keesokan hari, mula-mula saya semangat juga nak tengok ‘like’ dan komen tetapi selepas itu sudah tidak larat sebab sudah beribu-ribu respon.
“Tapi saya tengok setiap video dan hargai apabila orang suka dan gembira. Video ‘simple’ sahaja tetapi buat orang seronok,” ujarnya.
Sehingga kini, video Que Haidar menyanyikan lagu Jamilah itu meraih lebih 5.6 juta tontonan, 9,000 komen dan 122,000 tanda suka di TikTok.
Rata-rata netizen turut terhibur dengan aksi bersahaja pelakon itu sehingga ramai wanita berseloroh mahu menukar nama kepada Jamilah gara-gara populariti mendadak lagu tersebut.