Sekilas
- Uqasha Senrose dan Kamal Adli sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Isnin.
- Uqasha memberi amaran kepada netizen supaya tidak berlebihan memberi komen mengenai perceraian mereka di media sosial.
- Pasangan ini berkahwin pada November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang lahir pada April 2024.
Kemelut rumah tangga Uqasha Senrose dan Kamal Adli akhirnya berakhir dengan perceraian pada Isnin di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur.
Malah, berita perceraian mereka berdua turut menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan netizen di laman sosial.
Uqasha menerusi Threads memberi amaran kepada netizen yang berlebihan memberi komen mengenai perceraiannya dengan bekas suami.
“Tolong netizen tak payah over dan melebih-lebih sangat. Macam dia pula yang bercerai. Jangan lebih-lebih,” tulis Uqasha.
Manakala pada perkongsian lain, Uqasha berkata dia mahu membiarkan mana-mana pihak untuk bercakap apa pun yang dimahukan.
Bagaimanapun perkongsian itu tidak pasti ditujukan kepada mana-mana pihak.
“Sign. Cakap la apa pun nak,” katanya lagi.
Pada Isnin, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Uqasha mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Mahkamah turut memerintahkan Uqasha menjalani tempoh idah selama tiga kali suci bermula dari tarikh lafaz talak dibuat serta mendaftarkan perceraian mereka.
Untuk rekod, Uqasha memfailkan permohonan perceraian terhadap Kamal pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang dilahirkan pada 27 April 2024.
Sumber - Threads