Skip to main content

Selebriti

Tuduhan Tidak Berasas & Bersifat Fitnah, Keputusan Mahkamah Berpihak Kepada Suami Allahyarham Pengasas Dnars

Mahkamah

Sekilas

  • Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman fitnah Haji Ahmad Shah Rizal terhadap Mohd Faizul Rohban dan Irdiena Hakim Jasman berhubung tuduhan palsu terhadapnya.
  • Mahkamah mendapati defendan gagal buktikan dakwaan jahat termasuk curang, kejam terhadap anak tiri dan merancang pembunuhan Allahyarham Faziani Rohban.
  • Faizul dan Irdiena diarahkan bayar gantirugi, mohon maaf secara terbuka dan dilarang keluarkan kenyataan fitnah terhadap Haji Ahmad Shah Rizal pada masa depan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkan tuntutan saman fitnah yang difailkan oleh Haji Ahmad Shah Rizal terhadap dua orang defendan pada 21 Januari 2026.

Mahkamah Defendan Pertama ialah Mohd Faizul Rohban manakala Defendan Kedua pula adalah Irdiena Hakim Jasman yang masing masing merupakan adik dan anak Allahyarham Faziani Rohban, pengasas Dnars berhubung penerbitan pelbagai tuduhan palsu dan berunsur fitnah terhadapnya.

Fokus utama tindakan saman ini adalah berkaitan penerbitan kenyataan oleh Faizul dan Irdiena bahawa Haji Ahmad Shah Rizal telah berlaku curang terhadap isterinya, Allahyarham Faziani Rohban, dengan mengadakan hubungan sulit bersama wanita lain semasa Allahyarham masih hidup.

Bersikap kejam terhadap anak tiri, termasuk kononnya cuba memerangkap anak tiri tersebut melalui laporan palsu, tamak dan cuba menyeleweng harta peninggalan Allahyarham, cuba melenyapkan bukti dengan menggodam akaun facebook Defendan Pertama iaitu Faizul dan tidak bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan dan penjagaan anak tiri.

Dalam prosiding mahkamah, Faizul dan Irdiena turut mengemukakan tuduhan serius kononnya Haji Ahmad Shah Rizal terlibat merancang pembunuhan Allahyarham.

Untuk rekod, isu kematian Allahyarham tidak pernah dibangkitkan oleh Haji Ahmad Shah Rizal dalam saman fitnah ini, sebaliknya ia dikemukakan oleh pihak defendan dalam pembelaan mereka.

Mahkamah mendapati, Faizul dan Irdiena gagal membuktikan kesemua tuduhan- tuduhan jahat terhadap Haji Ahmad Shah Rizal.

Mahkamah telah memutuskan bahawa Haji Ahmad Shah Rizal telah difitnah manakala kesemua dakwaan dibuat adalah tidak benar dan tidak berasas.

Haji Ahmad Shah Rizal juga percaya bahawa tuduhan-tuduhan jahat ini dibuat oleh kedua dua defendan iaitu Faizul dan Irdiena semata-mata untuk meraih simpati masyarakat, mensensasikan keadaan dan memburukkan nama baik dan kredibiliti Haji Ahmad Shah Rizal.

Selaras dengan keputusan tersebut, mahkamah memerintahkan Faizul dan Irdienauntuk membayar gantirugi berserta satu injuksi kekal iaitu bagi kedua-dua defendan iaitu Faizul dan Irdiena, hendaklah membuat permohonan maaf kepada Haji Ahmad Shah Rizal secara terbuka di media arus perdana iaitu Harian Metro, Sinar Harian, Kosmo! dan Berita Harian termasuk di portal Ohmymedia dan di akaun facebookperibadi milik kedua dua defendan iaitu Faizul dan Irdiena.

Bagi kedua dua defenden iaitu Faizul dan Irdiena (termasuk ejen atau pekerja mereka), adalah juga dihalang melalui satu perintah injuksi kekal di mana mereka dilarang dari mengeluarkan sebarang penerbitan atau penulisan lanjut dengan tuduhan yang sama atau apa-apa kenyataan yang bersifat fitnah terhadap Haji Ahmad Shah Rizal pada masa akan datang.

Haji Ahmad Shah Rizal menegaskan bahawa tindakan undang-undang ini diambil bukan atas dasar kepentingan kewangan, tetapi bertujuan membersihkan namanya, mempertahankan maruah dan integriti peribadi serta memelihara nama baik keluarga, bagi menghentikan fitnah yang menjejaskan reputasinya selama ini.

“Saya menghormati keputusan mahkamah dan bersyukur kerana kebenaran telah ditegakkan.

“Fitnah yang dilemparkan bukan sahaja menyentuh diri saya dan keluarga tetapi juga menjejaskan maruah dan legasi Allahyarham.

“Saya berharap keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua bahawa fitnah dan tuduhan jahat tanpa asas yang dibina naratifnya mengikut hawa nafsu adalah sangat kejam” katanya.

Berhubung kenyataan dan reaksi di media sosial selepas mahkamah menjatuhkan hukuman semalam.

Haji Ahmad Shah Rizal memilih untuk kekal tenang dan tidak melayan sebarang provokasi.

Tegasnya, keputusan mahkamah adalah rekod rasmi yang perlu dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak.

Malah dia juga menasihati masyarakat agar sedar akan kesan buruk menyebar fitnah dan membuat tuduhan palsu terhadap orang lain kerana ia bukanlah jalan penyelesaian yang bijak, pasti akhirnya mereka akan tetap menerima akibat dari perbuatan keji itu.

Dia juga berharap pihak yang terlibat dapat menerima keputusan mahkamah dengan patuh dan berlapang dada dan mendoakan ketenangan dan kesejahteraan buat semua pihak yang terlibat.

Must-Watch Video

Advertisement