Sekilas
- Pelakon Tracie Sinidol merancang untuk berkahwin sekitar umur 30 tahun dan memberi fokus kepada kerjaya buat masa ini.
- Tracie memberi tempoh tiga hingga empat tahun untuk bersedia memikul tanggungjawab sebagai ibu.
- Tracie memegang watak gadis kurang upaya cacat penglihatan dalam filem Malaikat Malam yang akan ditayangkan mulai 26 Mac ini.
Pelakon Tracie Sinidol menyasarkan untuk mendirikan rumah tangga sekitar usia 30 tahun.
Menurut Tracie, 24, dia merupakan seorang yang gemar merancang perjalanan hidup termasuk soal masa depan.
“Saya pula jenis yang suka merancang. Sasaran saya mungkin dalam umur 30 tahun baru nak berkeluarga,” kongsinya.
Bagaimanapun bekas juara Dewi Remaja 2021/2022 memaklumkan fokusnya kini adalah memberi tumpuan kepada kerjaya terlebih dahulu.
“Buat masa sekarang, fokus utama saya adalah kerjaya dan mahu melihat ibu bapa saya bersara dengan selesa,” katanya.
Tambahnya lagi, dia juga memberi tempoh beberapa tahun kepada dirinya sebelum benar-benar bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu.
“Saya beri diri saya lagi tiga hingga empat tahun sebelum betul-betul bersedia menjadi seorang ibu,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Tracie memegang watak sebagai Ratna yang merupakan seorang gadis kurang upaya cacat penglihatan dalam filem Malaikat Malam
Selain Tracie, filem yang mendapat sentuhan pengarah baharu, Nazifdin Nasrudin ini turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Que Haidar, Amir Nafis, Kodi Rasheed dan ramai lagi.
Sekadar info, filem Malaikat Malam terbitan Viper Studios dengan kerjasama Skop Productions, Astro Shaw, Primeworks Studios bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 26 Mac ini di pawagam terpilih.