Sekilas
- Jun Lojong mengaku rasa segan untuk tunjuk kemesraan dengan suaminya, Namron, walaupun mereka berlakon bersama dalam filem seram Polong.
- Mereka kekal profesional di set dan hanya berlakon sebagai watak Maria dan Hadi, manakala di rumah tetap suami isteri biasa.
- Jun memuji pengarah Zulkarnain Azhar yang berani memilihnya sebagai pelakon utama walaupun dia kurang dikenali dan tiada populariti.
Pelakon, Jun Lojong mengakui bahawa dia berasa segan untuk mempamerkan kemesraan bersama suaminya, Namron menerusi filem seram terbaharu, Polong.
Jun atau nama penuhnya Junainah M.Lojong,48 berkata bahawa meskipun mereka digandingkan bersama dalam filem tersebut, namun mereka memilih untuk kekal profesional dengan watak masing-masing.
“Hanya kat set sahaja kami berlakon sebagai Maria (Jun) dan Hadi (Namron). Bila balik rumah kami hanyalah suami isteri melainkan jika kami ingin praktis di rumah.
“Sejujurnya saya yang rasa malu dan segan nak tunjuk kemesraan suami isteri. Saya gemuruh sangat sebab saya tahu suami saya bagus. Saya terfikir boleh ke nak tunjuk kemesraan dan sampaikan dengan baik.
“Tetapi bila in action sahaja, semua perkara tersebut hilang sebab kami dalam karakter percintaan Mariah dan Hadi,”katanya kepada Gempak.
Sementara itu, Jun turut memuji pengarah Polong, Zulkarnain Azhar kerana berani memilihnya sebagai peneraju utama filem tersebut kerana berpandangan bahawa dirinya memiliki banyak kekurangan dari segi nama dan populariti.
“Saya bagi kredit pada Zul kerana berani ambil saya sebagai pelakon utama sebab saya tiada nama dan orang tak kenal saya. Bagaimana dia nak jual filem dia.
“Dia tak menilai populariti tetapi sangat pegang karya sebaiknya. Dia melihat saya dengan bakat dan bukan populariti. Beban juga sebenarnya, saya takut tiada orang nak lihat saya,”ujarnya.