Skip to main content

Hiburan

“Tiada Yang Kosong, Semua Ada Isi” - Nadhir Nasar Seru Penonton Ambil Nilai Baik Dari Karya

Nadhir Nasar

Pelakon, Nadhir Nasar menolak pandangan segelintir pihak yang menganggap karya filem atau drama boleh memberi impak negatif kepada penonton.

Menurut Nadhir, setiap naskhah yang dihasilkan oleh pengkarya mempunyai nilai moral dan mesej tersendiri yang boleh dijadikan pengajaran dalam kehidupan.

“Kalau pendapat saya, ia semua berbalik pada pilihan kita sebab semua naskah yang dilakonkan dan dibuat oleh film makers pasti ada moral value. 

“Moral value inilah yang kita perlu ambil dan praktikan dalam kehidupan kita sebab tiada filem yang kosong semua ada isi. Isi yang baik kita ambil dan pada penghujungnya ia berbalik kepada anda macam mana anda menilai dan menggunakan perkara tersebut dalam kehidupan seharian anda,” katanya kepada Gempak.

Tambahnya lagi, setiap karya seni yang dihasilkan mempunyai niat untuk menyampaikan mesej, bukan sekadar hiburan semata-mata. Justeru, penonton disaran untuk menilai karya secara terbuka dan berfikir secara matang terhadap mesej yang cuba disampaikan.

Dalam masa sama, Nadhir turut menekankan tentang peranan masyarakat dalam mendidik dan membentuk nilai moral, khususnya dalam isu buli yang masih menjadi masalah di kalangan remaja masa kini.

“Ibu bapa, guru di sekolah termasuk pensyarah mereka memainkan peranan yang besar dalam mendidik pelajar dimana buli ini bukan berkenaan fizikal sahaja tapi membuli mental salah satu buli yang sedang banyak berlaku juga. 

“Atau lebih mudah cuba anda letak diri anda dalam kasut orang yang anda buli, adakah anda suka kalau perkara itu terjadi kepada anda, jadi fikir-fikirkanlah,” tambahnya. 

Pelakon siri Project: High Council itu turut berharap agar masyarakat lebih peka dalam memahami mesej positif di sebalik setiap karya, serta menjadikan dunia seni sebagai medium pendidikan sosial yang berkesan.

Advertisement

Must-Watch Video

Advertisement