Sekilas
- Usahawan dan pempengaruh Christy Ng berkongsi pengalaman berpuasa yang mencabar tahun lalu kerana hanya makan mi segera ketika sahur hingga menyebabkan kehausan teruk.
- Tahun ini, Christy teruja untuk berpuasa bersama pasukannya, The Bengap Boys, dan merancang untuk ke bazar Ramadan membeli juadah berbuka.
- Dia juga akan menyediakan makanan sahur dan berbuka di pejabat untuk pasukan live host yang bekerja awal pagi sepanjang Ramadan.
Usahawan dan pempengaruh media sosial, Christy Ng berasa teruja untuk menyambut Ramadan dan berpuasa bersama pasukannya yang dikenali sebagai The Bengap Boys.
Berkongsi pengalaman berpuasa pada tahun sebelum ini, Christy berkata dia pernah melakukan kesilapan ketika bersahur sehingga menyebabkan dirinya berdepan kehausan teruk.
“Saya memang pernah cuba puasa, tapi sangat susah kerana hanya makan mi segera untuk sahur. Saya tiada pengalaman jadi agak 'bongok' sedikit.
“Kawan saya nampak dan terus tegur. Dia kata makan mi segera memang cepat haus. Memang waktu itu saya rasa sangat haus,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Christy mengakui dia tidak sabar untuk berpuasa bersama pasukannya kerana mahu merasai kemeriahan berbuka puasa beramai-ramai.
Malah katanya, mereka juga merancang untuk ke bazar Ramadan bagi membeli juadah berbuka.
“Tahun ini saya ‘upgrade’ sikit, nak cuba lagi puasa bersama pasukan saya. Seronok bila pergi bazar Ramadan dengan mereka dan berbuka bersama. Rasa syok sangat,” ujarnya.
Christy juga memberitahu dia akan menyediakan makanan buat pekerjanya sepanjang Ramadan memandangkan jadual kerja mereka yang tidak menentu.
Menurutnya, pasukan ‘live host’ akan mula bekerja seawal pukul 4 pagi, justeru makanan untuk bersahur dan berbuka akan disediakan di pejabat.
“Sempena Ramadan ini kami akan ‘top up’ makanan di pejabat untuk buka puasa dan sahur. Kami sediakan makanan seperti jajan, telur, nasi lemak, nasi ayam, lamb chop dan aiskrim durian untuk mereka,” katanya.