Sekilas
- Lufya Omar menarik balik tuntutan nafkah anak terhadap bekas suaminya, Dr Che Hafiz, kerana menganggapnya memalukan untuk berdepan dengannya.
- Dia memutuskan demikian selepas mempertimbangkan kenyataan Dr Che Hafiz yang sanggup berjuang habis-habisan dan menyatakan kesediaan melepaskan tanggungjawab tersebut.
- Lufya dan Dr Che Hafiz berkahwin pada 2016, bercerai pada 2020, dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Laana Haura yang kini berusia tujuh tahun.
Penyanyi dan pelakon Lufya Omar mengambil keputusan untuk menarik semula tuntutan nafkah anak yang difailkan terhadap bekas suaminya, Dr Che Hafiz.
Menerusi Instagram Lufya memberitahu dia enggan meneruskan tuntutan tersebut kerana menganggap ia sangat memalukan untuk berlawan dengan bekas suaminya.
“Ya saya menarik balik daripada tuntutan nafkah anak kerana ia sangat memalukan untuk melawan dia. Peguam saya sangat bagus,” katanya.
Pada perkongsian yang sama, Lufya memberitahu dia befikir panjang apabila bekas suaminya mengatakan dirinya tidak mampu dan sanggup ‘berlawan’ berhabis-habisan.
“Tapi saya fikir sedalamnya bila awak cakap tidak mampu dan sanggup ‘berperang’ dengan saya habis-habisan. Tak apa, saya gembira untuk ‘lepaskan; awak dari tanggungjawab awak.
“Alhamdulillah, ada seseorang yang berhutang dengan saya di akhirat nanti. Semoga ibumu masuk syurga Laana Haura asbab berjuang sendiri,” ujarnya.
Untuk rekod, Lufya dan Dr. Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 sebelum bercerai pada 17 Jun 2020.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Laana Haura, yang kini berusia tujuh tahun.
Selepas tiga tahun bergelar duda, Dr Hafiz akhirnya berkahwin dengan pelakon Julia Farhana pada 14 Disember 2022.