Skip to main content

Hiburan

Tampil Sugul Di Mahkamah, Kamal Adli Sukar Ulas Nasib Perkahwinan Dengan Uqasha Senrose - “Kalau Tiada Jodoh, Wallahu’alam”

Kamal Adli

Pelakon Kamal Adli kelihatan sugul ketika hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi prosiding hakam melibatkan rumah tangganya bersama isteri, Uqasha Senrose, hari ini.

Kamal atau nama lengkapnya Ahmad Kamal Adli, 40, mengakui sukar untuk mengulas lanjut mengenai prosiding berkenaan dan hanya mampu menyerahkan segalanya kepada keputusan mahkamah.

“Saya tak tahu nak cakap apa, susah sikit nak cakap prosiding ini dah hujung-hujung. Kalau tiada jodoh wallahu’alam.

“Saya dah cuba pertahankan dari awal lagi, tunggu keputusan sahaja kejap lagi. Saya pun tak tahu nak cakap,” katanya.

Sementara itu, Uqasha Senrose memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai prosiding berkenaan.

“Doakan yang baik-baik,” katanya.

Peguam Syarie yang mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian menjelaskan prosiding hari ini memasuki tahap kedua dalam proses penyelesaian kes.

“Ini tahap yang kedua iaitu hakam keluarga. Hari ini akan ada lantikan keluarga, kemudian kita akan tengok sama ada akan diteruskan dengan prosiding timbang tara hakam atau bagaimana,” katanya.

Pada prosiding hari ini, Kamal dan Uqasha hadir bagi menjalani prosiding hakam islah susulan wujud pertikaian apabila Kamal enggan menceraikan isterinya selepas prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) gagal mencapai persetujuan.

Sebelum ini, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 19 bulan.

Must-Watch Video

Advertisement