Bintang Talk To My Manager, Thalita tidak dapat membuat persembahan pada konsert akhir program realiti popular itu malam ini selepas disahkan dijangkiti virus influenza A.
Difahamkan, Thalita kini sedang menjalani kuarantin dan terpaksa menarik diri daripada segmen battle duet yang sepatutnya menyaksikan dia berpadu suara bersama peserta lain, Amad.
Advertisement
Bagi menggantikan Thalita, pengurus kepada Amad iaitu Siti Saerah tampil mengambil alih persembahan tersebut.
Mereka mempersembahkan dua lagu penuh emosi iaitu Menamakanmu Cinta (Datuk Seri Siti Nurhaliza) serta Hal Hebat (Govinda dan Ernie Zakri) yang mendapat sorakan gemuruh penonton.
Bukan itu sahaja, Thalita juga tidak dapat melakukan persembahan solonya yang sepatutnya menyanyikan lagu APT Rose ft Bruno Mars.
Konsert akhir Talk To My Manager yang dikendalikan oleh pengacara legenda Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil) turut menampilkan barisan juri tetap seperti Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal, manakala penyanyi terkenal Misha Omar hadir sebagai juri jemputan.
Program realiti yang menghimpunkan bintang dan pengurus mereka itu bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan turut boleh ditonton secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO serta sooka.