Sekilas
- Che Puan Sarimah Ibrahim menegaskan budaya membuli peserta dan juri di media sosial tidak wajar kerana program Talk To My Manager 2 adalah untuk hiburan.
- Setiap juri membuat penilaian berdasarkan laporan dan maklumat yang disediakan sebelum memberikan markah kepada peserta.
- Sarimah mengingatkan orang ramai supaya menjaga adab ketika menyuarakan pandangan di media sosial dengan cara yang berhemah dan beradab.
Juri tetap program Talk To My Manager 2, Che Puan Sarimah Ibrahim menegaskan budaya membuli peserta mahupun juri di media sosial tidak sepatutnya berlaku kerana program berkenaan diwujudkan untuk tujuan hiburan.
Menurut Sarimah, meskipun dirinya tidak pernah menjadi mangsa kecaman melampau, dia tetap bersimpati terhadap rakan sekerja dan peserta yang menerima layanan sedemikian daripada netizen.
“Alhamdulillah, saya tidak dibuli, tapi untuk rakan sekerja dan peserta yang dibuli, saya rasa ia tidak boleh diterima sebab ini adalah hiburan.
“Ini bukan politik, ini adalah hiburan dan kita pergi untuk dihiburkan. Pada penghujungnya, kita bukan decision maker sebab juri ada tiga orang dan pemarkahan sudah ditetapkan. Bila saya tulis markah saya, kita tak tahu markah lagi dua orang juri,” katanya kepada Gempak.
Sarimah turut menjelaskan setiap juri membuat penilaian berdasarkan laporan dan maklumat yang telah disediakan sebelum memberikan markah kepada peserta.
“Jadi kita hanya buat mengikut prinsip dan pendapat kita menerusi laporan yang diberikan. Kita ada dapat report dekat meja itu, jadi sampai kena baca cepat dan terpulang pada juri itu sama ada dia study atau tidak.
"Kalau saya, saya akan study dan keputusan berdasarkan maklumat yang kita kumpul,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sarimah turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga adab ketika menyuarakan pandangan di media sosial.
“Kita boleh sampaikan pendapat tapi adab tetap no satu kerana kita adalah rakyat Malaysia yang ada prinsip dan agama.
“Awak boleh sampaikan pendapat mengikut adab, tak semestinya kita lantang orang boleh dengar kita. Kadang-kadang kalau kita sampaikan dengan halus dan beradap lagi orang dengar,” katanya lagi.