Sekilas
- Audra Zulkifli beri semangat kepada peserta Talk To My Manager 2 supaya kekal disiplin dan jaga kesihatan sepanjang 10 minggu program berlangsung.
- Beliau tekankan pentingnya kreativiti dan mindset positif untuk menarik perhatian penonton dengan persembahan yang luar biasa.
- Program ini dikendalikan oleh Aznil Nawawi dan juri Sarimah Ibrahim serta AC Mizal, disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria dan boleh distrim di Astro GO dan Sooka.
Penyanyi, Audra Zulkifli menitipkan kata-kata semangat buat peserta program Talk To My Manager 2 (TTMM2) yang bakal mula berentap malam ini.
Menurut Audra, peserta perlu bersedia dari segi disiplin diri memandangkan program tersebut memerlukan komitmen berterusan selama beberapa minggu.
“Buat yang terbaik dan jangan stres. Pastikan makan, minum dan tidur semua cukup sebab korang akan ulang apa yang korang buat ini sampai 10 minggu.
“Apa yang saya nak korang buat ialah kuatkan mindset. Kekalkan mindset dan pastikan yang korang lagi baik daripada kami. Cuba buktikan yang korang lagi baik daripada kami,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Audra yang juga merupakan alumni TTMM turut menekankan kepentingan kreativiti dalam setiap persembahan bagi memikat perhatian penonton.
“Anda kena fikir di luar kotak. Bagi rakyat Malaysia sesuatu yang mereka tak boleh jangka, berikan sesuatu yang kreatif.
“Lakukan apa sahaja yang korang mahu. Bakat terpendam yang korang simpan itu, tunjukkan kepada satu Malaysia. Sebab seluruh Malaysia sedang melihat korang,” tambahnya.
Program Talk To My Manager 2 ini dikendalikan oleh pengacara legenda, Aznil Nawawi, bersama barisan juri ternama iaitu Sarimah Ibrahim dan AC Mizal.
Saksikan konsert mingguan Talk To My Manager 2 setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Program ini juga boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.