Pelakon meningkat naik, Zarif Ghazzi mengakui tidak menolak sekiranya suatu hari nanti dipertemukan jodoh bersama aktres Bella Dowanna.
Bagaimanapun, menurut Zarif, hubungan mereka ketika ini hanyalah sekadar rakan baik meskipun sudah lama saling mengenali.
“Saya memang dah kenal dia, saya dengan dia sebenarnya lebih kepada kawan sahaja. Tapi macam saya cakap, kalau ada jodoh, tiada masalah pun. Sebab kami kawan pun dah lama tapi memang tiada apa yang lebih,” katanya kepada Gempak.
Pelakon yang popular menerusi drama Seribu Tahun itu turut memuji sikap Bella yang disifatkannya sebagai seorang yang sangat jujur dan sentiasa menjadi dirinya sendiri.
Tambah Zarif lagi, antara perkara yang membuatkan dia selesa berkawan dengan Bella adalah keikhlasannya dalam persahabatan.
“Macam saya pernah cakap, dia memang seorang yang menjadi diri sendiri. Mana-mana dia pergi, dia bawa nama dia sebaiknya. Dia tak ada nak fake apa semua, kalau dia cakap tak suka maksudnya dia tak suka.
“Lagi satu keikhlasan dalam berkawan itu, dia ada benda tu. Saya suka bila saya berkawan dengan orang ikhlas untuk berkawan. Bukan sekadar berkawan untuk nak kebaikan ke apa tak. Itu adalah Bella Dowanna. Dia berkawan sebab dia ikhlas. So saya suka berkawan dengan dia,” ujarnya.
Bagaimanapun, aktor muda itu akui belum masa buatnya untuk memikirkan soal jodoh kerana fokusnya kini adalah kepada kerjaya dan keluarganya.
“Belum, sebenarnya kalau cakap tentang rumah tangga tu memang jauh lagi. Fokus saya adalah kerjaya saya, lakonan, dan keluarga saya. Untuk berpasangan belum lagi.
“Tapi saya tiada masalah jika ada yang kenen-kenenkan. Selagi benda tu tidak melampaui batas, saya tak ada masalah pun. Ok je,” tambahnya.